Tikam ibu: Tertuduh angguk faham ketika pertuduhan dibaca

Tertuduh kelihatan tenang ketika diiringi anggota polis keluar dari mahkamah hari ini.
Tertuduh kelihatan tenang ketika diiringi anggota polis keluar dari mahkamah hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan hari ini atas tuduhan membunuh ibu sendiri dalam kejadian di Taman Kampung Padang 12 November lalu.

Tertuduh, Mohd Ridzuan Mustafa, 37, mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi di hadapan Majistret Noordiana Abdul Aziz.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh ibunya, Sefiah Hamid, 62, di rumah mereka di Taman Kampung Padang, Jalan Sungai Lembing di sini antara jam 8.40 hingga 10.30 pagi pada tarikh berkenaan.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh berdepan hukuman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 17 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut untuk keputusan laporan mental.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam diperintahkan menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai, Tampoi hari ini.

Artikel Berkaitan: