Wanita kongsi kisah dua 'anak syurga' selang setahun

Kebahagian sementara yang dirasai oleh pasangan ini.
Kebahagian sementara yang dirasai oleh pasangan ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perkongsian kisah sedih seorang wanita diuji dengan kehilangan dua anaknya yang masih bayi mengundang hiba netizen di alam maya.

Kisah tersebut dikongsi oleh Luna Abdullah di akaun Facebooknya yang menceritakan mengenai kehilangan cahaya matanya baru-baru ini.

Tulisnya, kejadian itu bukan pertama kali kerana anak sulungnya, Syafi' Ramadhan Syazwan Syahazrin juga meninggal dunia tahun lalu ketika usia kandungannya empat bulan.

Luna berkata, kali ini anak keduanya yang dilahirkan pramatang berusia 6 bulan 'mengikut' abangnya.

Bayi perempuan yang diberi nama Maryam Eiliya Syazwan Syahazrin menghembuskan nafas terakhir selepas dilahirkan pada 5 November lalu.

"Hari Isnin (21/10/2019) merupakan mimpi ngeri buat mama dan papa. Pada tarikh itu kami membuat temu janji untuk menjalani ujian detail scan bersama doktor pakar di Hospital Sultan Ismail dan mendapati anak kami tidak sihat semasa scan.

"Dua orang doktor pakar scan adik untuk sahkan penyakit adik dan jika bersalin awal ataupun bersalin normal jangka hayat adik tidak tahan lama. Mungkin satu jam dua jam. Ataupun paling lama dua hingga tiga hari.

"Dua hari kemudian kami datang scan lagi namun dikhabarkan bahawa bayi saya tidak sihat dan tidak boleh disimpan lama. Berderai air mata. Ibu dan ayah mengambil keputusan untuk bersalin awal seperti yang disarankan oleh doktor," tulisnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, dia kemudiannya dimasukkan ke hospital pada 3 November lalu bagi menerima rawatan susulan dan bersyukur di atas doa serta kata-kata positif yang diterima daripada rakan-rakan dan masyarakat.

Luna dan suami, Syazwan Syahazrin reda dengan pemergian anak kedua mereka.
Luna dan suami, Syazwan Syahazrin reda dengan pemergian anak kedua mereka.

Bagaimanapun kegembiraan itu hanya sementara apabila bayinya meninggal dunia selepas suaminya mengalunkan azan.

"5 November, tepat 12.30 tengah hari, alhamdulillah adik dilahirkan dan doktor ambil adik letak dekat dada mama. Ya ALLAH adik buka mata tengok mama, sebak sangat masa itu. Awak comel sangat, tinggi dan putih.

"Semangat adik untuk hidup kuat walaupun hanya satu jam. Terima kasih ALLAH bagi anugerah terindah buat kami. Semoga kesedihan kami pada hari ini ALLAH gantikan dengan kebahagiaan pada hari-hari akan mendatang," tulisnya.

Antara reaksi netizen yang sedih dan berduka cita di atas kehilangan anak Luna buat kali kedua.
Antara reaksi netizen yang sedih dan berduka cita di atas kehilangan anak Luna buat kali kedua.

Perkongsian Luna kini meraih 2,000 tontonan dan rata-rata netizen sedih kerana Luna kehilangan anaknya buat kali kedua di samping berkongsi pengalaman kehilangan anak yang masih dalam kandungan.

"Innalillahiwainnailaihirojiun. Salam takziah buat puan sekeluarga. Tarikh due (lahir) baby puan sama dengan saya. Moga puan sekeluarga kuat dan tabah menerima ujian ALLAH. Jaga diri baik-baik puan," tulis Cik Puan Ayue Mardhia di Twitter.

Eyyraa Eryna pula menulis, "Salam takziah. Al-fatihah, saya pun baru kehilangan anak syurga, masih dalam pantang baru 10 hari. Saya bersalin 33 minggu lima hari. Lepas deliver (bersalin) bayi tenat terus masuk NICU. Doktor kesan bayi saya jantung bengkak dan hidup tiga hari sahaja."