‘Pilih PH untuk pembangunan’

Karmaine Sardini
Karmaine Sardini
A
A
A

PADA tanggal 16 November, berakhirlah teka-teki siapa calon pilihan pengundi menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Meskipun pertandingan melibatkan enam penjuru, namun tumpuan dilihat lebih terarah kepada pertembungan sengit antara calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.

Di sebalik pelbagai dakwaan dan asakan pihak lawan, Karmaine dilihat sebagai pilihan utama untuk mengekalkan kerusi Parlimen yang ditinggalkan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Allahyarham Datuk Md Farid Md Rafik yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 21 September lalu.

Ikuti temu bual eksklusif Wartawan Sinar Harian, KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN dan Jurufoto Sinar Harian, SHARIFUDIN ABDUL RAHIM bersama Karmaine di pejabatnya semalam.

Karmaine (tiga dari kanan) ketika berkempen di kawasan Pekan Nanas.
Karmaine (tiga dari kanan) ketika berkempen di kawasan Pekan Nanas.

Apakah cadangan anda untuk memajukan Tanjung Piai?

KARMAINE: Sebenarnya Pontian dan Kukup sudah diwartakan kawasan pelancongan kerana industri pelancongan dijalankan sejak dahulu lagi.

Banyak perusahaan dan restoran makanan laut dan ikan segar dikunjungi ramai orang luar terutama pengunjung dari Singapura. Bagaimanapun, kita hendak lebih ramai pengusaha kedai makan bumiputera di kawasan pelancongan ini memandangkan kalangan masyarakat Cina sudah banyak kedai makanan laut Cina terutama di kawasan Kukup Laut.

Bilangan peniaga Melayu pula sangat sedikit.

Artikel Berkaitan:

Bagaimana anda hendak bantu golongan B40 di kawasan Parlimen ini?

KARMAINE: Kalau kita lihat, di Johor sendiri di samping bantuan kerajaan disalurkan kepada golongan B40, kita ada beri bantuan lain seperti pemberian skim Kad Peduli Sihat sebanyak RM500 setahun.

Melalui kemudahan itu, mereka yang layak menerimanya boleh gunakan kad peduli sihat itu setiap kali pergi ke klinik.

Setidaknya ia boleh mengurangkan kos belanja perubatan mereka.

Sekarang kerajaan berusaha mengawal harga barang pada harga terjamin. Kerajaan juga galakkan orang kampung mengusahakan tanaman kontan dan sayur.

No Image Caption

Apakah jaminan kerajaan supaya Terminal Feri Antarabangsa Kukup terus dibuka memandangkan terdapat dakwaan ia akan ditutup semula sekiranya PH kalah?

KARMAINE: Saya ikuti isu penutupan Terminal Feri Antarabangsa Kukup sejak dua bulan lepas. Sebenarnya kerajaan negeri bukan saja-saja tutup tetapi ia disebabkan kegagalan syarikat konsesi perkhidmatan feri melaksanakan tanggungjawabnya.

Jadi apabila dibuka semula, saya rasa peniaga akan gembira. Contohnya, setiap orang yang pergi ke Tanjung Balai, Indonesia dengan menaiki feri, mereka akan parkir kereta di tempat parkir awam. Itu memberi pendapatan kepada kerajaan.

Kedai makan serta kedai serbaguna pula akan menjadi laris apabila pintu keluar masuk pengunjung menjadi semakin aktif. Difahamkan pengunjung dari Kukup ke Tanjung Balai atau sebaliknya mencecah 200 hingga 500 orang sehari. Saya yakin aktiviti ekonomi akan menjadi semakin rancak.

Karmaine meluangkan masa melawat seorang penduduk.
Karmaine meluangkan masa melawat seorang penduduk.

Apakah impak kewujudan tambahan perjalanan feri kepada kepentingan ekonomi penduduk Tanjung Piai?

KARMAINE: Kalau kita wujudkan tambahan perjalanan feri ke Kukup dari Singapura, selain Tanjung Balai dan Pulau Karimun, maknanya lebih ramai pengunjung dari Singapura datang ke Kukup untuk membeli-belah.

Ekonomi penduduk setempat akan bertambah dan senario itu ada kebaikannya. Sebenarnya kita sudah mengkaji cadangan itu dengan Pihak Pengangkutan Awam Johor dan Menteri Besar Johor sebelum ini.

Bagaimanakah keyakinan anda untuk meraih sokongan majoriti pengundi esok?

KARMAINE: Saya rasa keyakinan untuk menang memang ada. Lebih-lebih lagi bila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri menerangkan keadaan sebenar ekonomi negara dan fokus kerajaan untuk memulihkan ekonomi serta usaha-usaha menambah baik ekonomi penduduk kampung. Contohnya, program penyatuan pekebun kecil dan peneroka Felda. Inisiatif ini akan memberi pulangan lebih kepada pekebun kecil.

Bahkan Dr Mahathir ada menyarankan supaya dibuat kajian untuk tanaman lain selain perusahaan tanaman sedia ada. Kita kena sama-sama memikirkan potensi tanaman lain yang boleh membawa pulangan lumayan kepada penduduk kampung.

Bagaimanakah anda hendak meyakinkan pengundi bahawa anda adalah calon untuk semua kaum?

KARMAINE: Saya sudah maklum sejak awal lagi, saya calon PH merangkumi semua kaum. Cuma isu ini bukan kita bangkitkan, tetapi parti lawan terutama Barisan Nasional dan UMNO.

Sebelum ini mereka hendak letakkan calon UMNO bertanding, tetapi tidak berjaya. Jadi apabila mereka terpaksa letakkan calon MCA, mereka yang bermain sentimen perkauman. Kami tidak pernah main sentimen perkauman. Di mana-mana saya pergi, saya tidak pernah cakap pilih calon Melayu Islam. Kita cakap sama sahaja dan saya mewakili semua kaum.

Sepanjang kempen, anda dilihat lebih bersikap defensif berbanding menggunakan inisiatif menyerang calon parti lawan. Adakah anda melihat pendekatan itu menyebabkan rakyat lebih menyakini anda untuk membantu mereka?

KARMAINE: Saya rasa betul. Kita tidak perlu hendak serang orang lain, kita kena perkenal dan ‘jual’ diri kepada pengundi, Kita tidak perlu fikir orang lain, yang penting orang perlu kenal diri kita dan siapa parti saya dokong.

Yang penting rakyat perlu tahu parti yang saya dokong adalah PH, pentadbiran negara dan negeri Johor bertambah baik dan makmur di bawah Dr Mahathir dan Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Karmaine bertanya khabar peniaga.
Karmaine bertanya khabar peniaga.

Apakah aspek penting yang anda hendak ketengahkan jika menjadi Ahli Parlimen kelak?

KARMAINE: Saya lebih menfokus aspek pembangunan di mana ia sejajar dengan pengalaman saya dalam bidang seni bina. Sudah tentu saya lebih fokuskan pembangunan bandar di samping perlu mengetengahkan inisiatif memperbandarkan kampung. Saya rasa itu lebih sesuai dengan saya.

Apakah seruan anda kepada pengundi di Tanjung Piai?

KARMAINE: Saya menyeru seluruh penduduk tidak kira bangsa untuk terus menyokong PH, iaitu saya sendiri sebagai calon iaitu Karmaine Sardini, calon nombor empat. Ini kerana kalau saya dipilih sebagai wakil rakyat, segala agenda pembangunan yang direncana Allahyarham Md Farid akan terus dilaksana dan ditambah baik.

Sejajar saranan kerajaan PH untuk mewujudkan kemudahan baik khususnya kepada penduduk luar bandar, saya rasa PH adalah pilihan mereka dan saya sendiri berjanji mewakili semua kaum.