Obesiti penyumbang punca kematian

Gambar kecil: Kevin
Gambar kecil: Kevin
A
A
A

SHAH ALAM - Masalah obesiti yang melanda rakyat Malaysia bukan sesuatu yang baharu malah telah menjadi trend yang berterusan sehingga mengancam nyawa.

Perunding kecergasan dan kesihatan, Kevin Zahri berkata, masalah obesiti boleh mengundang maut yang berpunca daripada salah diri sendiri.

"Penyakit ini terjadi kerana tiada kawalan pemakanan yang mengundang pelbagai penyakit seperti kencing manis, tekanan yang melampau dan peningkatan kolesterol yang menjadi punca kematian," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Hari ini, ciapan dimuat naik di Twitter Kementerian Kesihatan sempena Hari Diabetes Sedunia merekodkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai bilangan penduduk tergemuk paling tinggi di Asia.

Kementerian itu menjelaskan, sebanyak 33 peratus rakyat Malaysia berlebihan berat badan dan 18 peratus mengalami obesiti.

Menurut Kevin, pengambilan produk sampingan di Malaysia yang bertujuan untuk mengurangkan berat badan tanpa seliaan penguatkuasaan turut mengundang maut.

"Produk yang diambil tanpa kawalan mampu memberi impak negatif kepada fungsi buah pinggang dan jantung sehingga membawa kematian terutama bagi mereka yang mempunyai penyakit lain sebelum ini.

"Jika di luar negara, pengguna lebih terdedah berkaitan baik dan buruk sesuatu produk kerana terdapat penguatkuasaan yang terkawal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kevin berkata, sebagai langkah pencegahan obesiti, kempen Jom Kurus Sekolah yang akan dilaksanakan bermula tahun hadapan bertujuan untuk menanamkan gaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat.

"Program ini melibatkan pelajar, guru-guru dan ibu bapa untuk mendidik tabiat hidup aktif seisi keluarga selain membiasakan gaya hidup sihat dalam diri anak-anak sejak kecil," katanya.

Justeru itu, beliau menasihati masyarakat supaya mengamalkan gaya hidup sihat agar masalah obesiti dapat dicegah dengan lebih awal.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia catat rekod penduduk 'tergemuk' paling tinggi Asia