'Kerang bulu lebih manis'

Roriah (dua dari kanan) bersama Norul Asmahanim (dua dari kiri) dan Noelawati mencari kerang di pantai Rhu Dua di sini.
Roriah (dua dari kanan) bersama Norul Asmahanim (dua dari kiri) dan Noelawati mencari kerang di pantai Rhu Dua di sini.
A
A
A

MARANG - Rasanya yang lebih manis dan sedap menjadikan kerang bulu atau nama saintifiknya anadara antiquata yang terdampar sejauh 2 kilometer (km) di Pantai Rhu Dua di sini diburu ratusan peminat makanan laut sekaligus menjadikan kawasan itu tidak ubah umpama 'pesta' sejak tiga hari lalu.

Bukan sekadar penduduk setempat malah ada yang datang dari jauh semata-mata mencuba nasib untuk mendapatkan makanan laut itu.

Roriah Daud, 56, dari Kampung Durian Kassim, Ajil, Hulu Terengganu berkata, dia datang ke situ bersama dua anak dan dua cucunya setelah mendapat tahu mengenai kerang bulu di pantai itu yang tular di media sosial.

Norul Asmahanim (kiri) dan Norlelawati menunjukkan kerang bulu yang diperoleh.
Norul Asmahanim (kiri) dan Norlelawati menunjukkan kerang bulu yang diperoleh.

Menurutnya, hari ini masuk hari kedua dia mencuba nasib walaupun hasil yang diperoleh tidak begitu banyak berbanding hari pertama ke situ semalam.

"Semalam saya dah datang. Sambil bawa anak cucu makan angin di pantai ini, saya cari juga kerang. Kebetulan semalam banyak dapatlah bawa balik dan rebus seperiuk.

"Hari ini tak banyak pun kerang yang dapat sebab bawa cucu-cucu yang masih kecil jadi usaha mencari agak terbatas namun rasa seronok sebab dapat nikmati udara laut di sini," katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Roriah berkata, rasa kerang bulu yang lebih enak dan boleh dimasak dengan pelbagai cara menyebabkan makanan itu menjadi rebutan.

Artikel Berkaitan:

"Rasa kerang bulu memang lebih sedap berbanding kerang biasa. Tambahan pula yang masih segar baunya lebih harum ketika dibakar.

"Macam-macam cara untuk masak kerang ini biasanya ia dibakar, rebus atau tumis dan dicicah dengan air asam atau sos," katanya yang datang ke situ bersama Norul Asmahanim, 26; Norlelawati, 23, serta dua cucunya, Muhammad Anas Daniel Aizuddin, 2, dan Nur Anis Dayana, 6 bulan.

Seorang kanak-kanak tidak melepaskan peluang mencari kerang di pantai Rhu Dua di sini semalam.
Seorang kanak-kanak tidak melepaskan peluang mencari kerang di pantai Rhu Dua di sini semalam.

Sementara penduduk Kampung Rhu Dua, Shahrul Azwan Mohammad, 29, dan Zakaria Abdullah, 41, berkata, mereka berjaya mengutip sebanyak tiga dan tujuh guni pada hari pertama kerang itu terdampar di pantai.

Shahrul Azwan berkata, hasil yang banyak diperoleh itu turut dibahagi-bahagikan bersama penduduk setempat.

"Saya tak jual pun, makan sendiri dan bahagi dengan penduduk kampung. Ada yang direbus siap-siap dan isinya diasingkan untuk disimpan didalam peti sejuk bahagian sejuk beku.

"Ia lebih tahan lama dan mudah untuk digunakan dalam masakan," katanya yang merupakan antara individu terawal mendapatkan kerang itu pada hari pertama ia terdampar di pantai.

Kerang bulu lebih sedap dan rasanya lebih manis berbanding kerang biasa.
Kerang bulu lebih sedap dan rasanya lebih manis berbanding kerang biasa.

Sementara itu, ahli jawatankuasa (AJK) Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Rhu Dua, Kamarudin Yahinza berkata, walaupun kuantiti kerang makin berkurangan, kampung itu terus menjadi tumpuan ramai sejak tiga hari lalu.

Katanya, ada yang berjaya bawa pulang hingga 50 kilogram (kg) pada hari pertama kerang itu dijumpai pada Selasa lalu.

"Selepas itu, ramai juga yang datang dari jauh semata-mata nak dapatkan kerang bulu dari daerah lain seperti Kuala Berang, Kg Bukit Sawa dan Kg Jerong.

"Ada yang tunggu dari pagi sampai petang malah ada juga yang datang seawal jam 7 pagi ke sini. Tak kurang juga ada yang 'frust' tak dapat hasil yang diinginkan.

"Kita cuba juga minta penduduk yang dapat lebih untuk bahagi kepada mereka yang datang dari jauh supaya semua dapat merasa," katanya.

Katanya, walaupun kawasan pantai itu menjadi tumpuan, dia berharap aspek keselamatan turut diberikan tumpuan.

"Walaupun kehadiran kerang di kawasan ini menjadi rezeki kepada penduduk setempat serta mereka yang datang dari daerah lain, kita harap mereka dapat menitikberatkan aspek keselamatan dan tidak pergi terlalu jauh ke tengah laut," katanya.

Fenomena kerang terdampar di Pantai Rhu Muda berlaku hampir saban tahun akibat peralihan monsun dan ombak kuat dengan kuantiti kerang paling banyak dilihat berlaku pada 2014 dan 2017.