Calon BN diramal menang di Tanjung Piai?

Dr Wan Mat Sulaiman
Dr Wan Mat Sulaiman
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kajian dijalankan Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) dengan kerjasama sekumpulan penyelidik dari sebuah institusi pengajian awam tempatan menunjukkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng diramal memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang akan berlangsung pada 16 November ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TSIS, Dr Wan Mat Sulaiman berkata, ramalan itu berdasarkan kaji selidik bebas bertajuk Kaji Selidik Mengenai Kecenderungan Pengundi Dalam PRK Tanjung Piai yang dijalankan pada 7, 8 dan 9 November lalu membabitkan 300 responden yang merupakan pengundi berdaftar pada PRK itu.

Menurutnya, respons yang diterima meliputi 58.7 pengundi Melayu, 40.0 (Cina) dan 1.0 peratus (India) berbanding komposisi sebenar pengundi 57.6 peratus (Melayu) 41.4 peratus (Cina) dan 0.9 peratus (India).

"Dapatan utama kaji selidik ini menunjukkan calon BN dijangka akan menang dalam PRK Tanjung Piai berdasarkan kepada penolakan pengundi Tanjung Piai kepada PH (Pakatan Harapan) serta penerimaan mereka kepada Muafakat Nasional dan kepada calon BN itu sendiri.

"Dapatan utama kaji selidik iaitu 51.0 peratus responden menyatakan PH tidak perlu terus diberi peluang untuk memerintah berbanding 28.3 peratus responden yang menyatakan PH perlu terus diberi peluang untuk memerintah.

"Selain itu, 68.3 peratus responden menyatakan PH tidak berjaya atau sangat tidak berjaya melaksanakan manifestonya di Malaysia berbanding 20.7 peratus responden yang menyatakan PH berjaya atau sangat berjaya melaksanakan manifestonya di Malaysia.

"Sebanyak 60.7 peratus responden pula menyatakan PH tidak berjaya atau sangat tidak berjaya melaksanakan manifestonya di Johor berbanding 20.0 peratus responden menyatakan PH berjaya atau sangat berjaya melaksanakan manifestonya di Johor," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sebanyak 58.7 peratus responden menyatakan PH tidak berjaya atau sangat tidak berjaya memperbaiki kedudukan ekonomi negara berbanding 28.7 peratus responden menyatakan PH berjaya atau sangat berjaya memperbaiki kedudukan ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga dapati 57.0 peratus responden menyatakan kehidupan mereka tidak bertambah baik selepas PH memerintah berbanding 21.0 peratus responden menyatakan kehidupan mereka bertambah baik selepas PH memerintah.

"Sebanyak 55.7 peratus responden menyatakan PH tidak berjaya atau sangat tidak berjaya menjaga kepentingan kaum dan agama mereka berbanding 31.3 peratus responden yang menyatakan PH berjaya atau sangat berjaya menjaga kepentingan kaum dan agama mereka.

"50.0 peratus responden pula menyatakan PH tidak berjaya atau sangat tidak berjaya menjaga keharmonian dan keselamatan negara berbanding 35.3 peratus responden yang menyatakan PH berjaya atau sangat berjaya menjaga keharmonian dan keselamatan negara," katanya.

Wan Mat berkata, petanda paling jelas mengenai penerimaan pengundi Tanjung Piai kepada calon BN ialah 61.7 peratus responden menyatakan calon yang paling mereka kenali, senangi dan hormati secara peribadi ialah Jeck Seng, berbanding 24.0 peratus responden yang menyatakan calon yang paling mereka kenali, senangi dan hormati secara peribadi adalah calon PH, Karmaine Sardini.

"Sebanyak 61.7 peratus responden menyatakan calon yang paling mampu memperjuangkan kepentingan mereka adalah calon BN berbanding 24.0 peratus responden menyatakan calon yang paling mampu memperjuangkan kepentingan mereka adalah calon PH," katanya.

PRK Tanjung Piai menyaksikan pertandingan enam penjuru antara calon PH, Karmaine; Calon BN (Jeck Seng), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Wendy Subramanian), Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz) serta dua calon dua calon Bebas (Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar).

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42 dari PH pada 21 September lalu.