Permit kempen rumah ke rumah: Kerajaan PH 'tidak siuman', kata Tok Mat

Barisan kepimpinan gabungan Muafakat Nasional pada Himpunan Penyatuan Ummah Muafakat Nasional dan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Johor di Kampung Sawah, sebentar tadi. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Barisan kepimpinan gabungan Muafakat Nasional pada Himpunan Penyatuan Ummah Muafakat Nasional dan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Johor di Kampung Sawah, sebentar tadi. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PONTIAN - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) 'tidak siuman' gara-gara tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan arahan mendapatkan permit berkempen dari pintu ke pintu sepanjang pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Beliau berkata, keputusan suruhanjaya itu di bawah pentadbiran kerajaan PH tidak pernah berlaku di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Menurutnya, tindakan itu seolah-olah cuba melemahkan pembangkang pada saat akhir sebelum menjelangnya hari mengundi, 16 November ini.

"Tak tahulah undang-undang apa yang mereka guna untuk PRK ini.

"Hari ini peguam negara pun dah nyatakan ia sebagai satu kesilapan. Tetapi kalau kerajaan hendak permit juga memanglah menunjukkan bahawa kerajaan ini tak siuman," katanya ketika berceramah pada Himpunan Penyatuan Ummah dan Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Johor sempena PRK, Tanjung Piai di Pekan Nanas di sini malam ini.

Hadir sama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Penasihat Barisan Nssional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Datuk Seri Vigneswaran.

Mengulas perkara sama, Mohamad berkata, kepimpinan kerajaan PH pada hari ini tidak ada hala tuju dan buktinya ditunjukkan menerusi arahan 'tidak masuk akal' berkenaan.

Terdahulu, polis menetapkan semua parti dan calon yang bertanding dalam PRK tersebut perlu mendapatkan permit bagi kempen yang dibuat dari rumah ke rumah.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun dalam satu kenyataan berkata, polis turut menetapkan program tinjauan mesra yang turut dianggap sebagai kempen bergerak dan perlu mempunyai tempoh masa serta lokasi yang jelas bagi tujuan pemantauan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kontroversi permit kempen rumah ke rumah selesai

Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara hari ini mengeluarkan kenyataan yang bertentangan terhadap arahan SPR itu.

Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menjelaskan, kempen seperti itu oleh calon dan jentera parti tidak memerlukan permohonan permit daripada polis berdasarkan Seksyen 24B (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.