Cyber999 terima lebih 30,000 laporan insiden keselamatan siber sejak 2017

Ketua Jabatan Malaysia Computer Emergency Response Team (MyCERT), CyberSecurity Malaysia, Megat Muazzam Abdul Mutalib.
Ketua Jabatan Malaysia Computer Emergency Response Team (MyCERT), CyberSecurity Malaysia, Megat Muazzam Abdul Mutalib.
A
A
A

SHAH ALAM - Pusat Bantuan Cyber999 (Cyber999) yang bertindak sebagai pusat tindak balas insiden keselamatan siber menerima lebih 30,000 laporan pelbagai jenis insiden keselamatan siber dalam tempoh sejak 2017 sehingga September tahun ini.

Pendedahan dikongsi Ketua Jabatan Malaysia Computer Emergency Response Team (MyCERT), CyberSecurity Malaysia, Megat Muazzam Abdul Mutalib yang menjadi antara tiga panelis dalam program Wacana Sinar Siri 140 bertajuk Keselamatan Siber: Bagaimana Mempertahankan Diri? di Dewan Karangkraf, Seksyen 15, di sini malam ini.

Megat Muazzam berkata, Cyber999 menyediakan perkhidmatan di mana pengguna internet boleh melaporkan pelbagai jenis insiden keselamatan siber.

Menurutnya, insiden keselamatan siber adalah istilah umum digunakan Cyber999 untuk apa jua bentuk ancaman, gangguan atau serangan keselamatan siber yang dihadapi oleh orang awam dan organisasi.

“Boleh saya katakan di sini, dari segi trek rekod, statistik peningkatan laporan itu (berlaku) setiap tahun dan terus meningkat.

“Untuk makluman, pada 2017, Cyber999 menerima sebanyak 7,962 insiden (keselamatan siber) manakala pada 2018 sebanyak 10,699 laporan insiden keselamatan siber diterima dan sebanyak 7,667 dilaporkan sehingga September tahun ini.

“Pihak kami merasakan banyak lagi mangsa yang terlibat namun tidak membuat laporan dan boleh saya katakan (laporan itu meningkat) kerana penggunaan teknologi maklumat ketika ini adalah sangat dekat namun kita perlu berhati-hati,” katanya.

Wacana turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Pengerusi Pusat Keselamatan Siber, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Siti Norul Huda Sheikh Abdullah dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid.

Artikel Berkaitan:

Moderatornya pula ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noor.