JPA perlu pertimbang lebih banyak jawatan tetap untuk doktor

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu mempertimbangkan secara serius lebih banyak jawatan tetap untuk doktor baharu dalam perkhidmatan awam bagi memastikan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti.

Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM), Dr Jeffrey Abu Hassan berkata, doktor pelatih dan pegawai perubatan merupakan kumpulan paling aktif dalam penyampaian penjagaan kesihatan dan berada di barisan hadapan jabatan kecemasan.

“Sehubungan itu, dasar pengambilan pekerja secara kontrak sukar difahami apabila kita sebenarnya memerlukan lebih ramai doktor untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini yang merujuk kepada gaji yang rendah, ketidaktentuan dan kekurangan peluang untuk doktor dan doktor pelatih kontrak yang baharu.

Dr Jeffrey berkata, status kontrak bagi doktor terlibat mengurangkan peluang mereka untuk menjadi pakar yang amat diperlukan negara pada masa hadapan.

Beliau mencadangkan Kementerian Kesihatan (MOH) bersama Kementerian Pendidikan (MOE) untuk menyusun kemasukan pelajar bagi latihan perubatan dengan merasionalkan bilangan mereka menerusi kriteria kelayakan yang ketat.

Beliau berkata, MOH perlu terus menangani cabaran dan kesukaran yang dihadapi doktor muda dengan mendengar aduan dan keperluan mereka, terutamannya kebimbangan terhadap perubahan keadaan kontrak pekerjaan.

Katanya, penilaian prestasi mereka mesti dilakukan secara menyeluruh, telus dan profesional. - Bernama

Artikel Berkaitan: