LTAM perlu RM2.5 juta untuk program tahun ini

Mirzan Mahathir. - Foto Bernama
Mirzan Mahathir. - Foto Bernama
A
A
A

PERSATUAN Lawn Tenis Malaysia (LTAM) memerlukan perbelanjaan sebanyak RM2.5 juta untuk menjayakan program pembangunan bagi sukan tenis, tahun ini.

Presidennya, Mirzan Mahathir berkata, jumlah bajet awal itu adalah bagi menganjurkan kejohanan, penyertaan pemain pada kejohanan antarabangsa, pengurusan serta membayar gaji jurulatih.

Beliau mengakui persatuan tersebut mengalami masalah kewangan yang kritikal dan memerlukan penajaan pihak swasta untuk meneruskan pelbagai program pembangunan sukan tersebut.

Bagi tujuan pembangunan, beliau berkata, mereka perlu menganjurkan sekurang-kurangnya 15 kejohanan bagi pemain junior manakala 25 kejohanan bagi pemain senior.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pelancaran Kejohanan Sirkit Kebangsaan dan Sikit Jelajah Remaja 2019, di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mirzan mengakui LTAM mengalami masalah tunggakan gaji jurulatih pada tahun lepas namun isu itu telah berjaya diselesaikan sebelum masuk musim 2019.

Katanya, isu tunggakan itu timbul disebabkan kekurangan peruntukan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan juga penaja, yang memaksa LTAM berjimat cermat dan menangguh pembayaran gaji jurulatih.

“Tahun lepas memang keadaan kita paling teruk terutamanya selepas Sukan SEA ke-29 berakhir. Namun kita ada jurulatih yang sangat memahami dan sanggup bekerjasama dengan LTAM walaupun sudah mengetahui keadaan kami.

Artikel Berkaitan:

“Bagi tahun ini, pihak kami berharap mendapat peruntukan yang lebih sikit agar segala program pembangunan atlet tidak terjejas seperti tahun lepas,” katanya. - Bernama