Barisan Kabinet Kuwait letak jawatan

Parlimen Kuwait pernah dibubarkan beberapa kali sebelum ini.
Parlimen Kuwait pernah dibubarkan beberapa kali sebelum ini.
A
A
A

KUWAIT CITY - Perdana Menteri Kuwait hari ini mengumumkan peletakan jawatan barisan Kabinet di bawah pentadbirannya di tengah-tengah perselisihan antara menteri dan kritikan terhadap prestasi mereka.

Sheikh Jaber Mubarak al-Sabah mengemukakan surat itu kepada Emir Sheikh Sabah Al Ahmad Al Sabah bagi membolehkan rombakan Kabinet.

Speaker Parlimen, Marzouk al-Ghanem menyatakan keputusan itu disambut baik segelintir ahli Parlimen manakala sebahagian daripada mereka percaya masalah itu terletak pada pihak kerajaan kerana ia tidak seragam (homogen).

Krisis dalam Kabinet mula memuncak apabila bekas Menteri Kewangan, Nayef al-Hajraf dan Menteri Kerja Awam, Jenan Bushehri meletak jawatan selepas kedua-duanya menerima kecaman hebat kerana didakwa tidak menguruskan dana awam dan portfolio masing-masing dengan baik.

Kuwait adalah satu-satunya negara Teluk Parsi yang mana Parlimen melalui proses pemilihan sepenuhnya manakala kerajaan dikawal oleh keluarga pemerintah.

Selama lebih sedekad, negara kaya minyak itu telah terjerumus dalam krisis politik yang turut menyaksikan Kabinet pernah dibubarkan beberapa kali.

Difahamkan, tidak lama selepas kerajaan membuat pengumuman itu, al-Ghanem berkata, Emir memaklumkan kepadanya bahawa beliau tidak berhasrat untuk membubarkan Parlimen.

Pilihan Raya Parlimen di negara itu dijadualkan berlangsung pada tahun depan. - AFP

Artikel Berkaitan: