Penjara perlukan pegawai psikologi

Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob (tengah) memukul gong sebagai simbolik merasmikan pameran terapi seni penghuni Jabatan Penjara Malaysia di Muzium Penjara di Banda Hilir di sini hari ini.
Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob (tengah) memukul gong sebagai simbolik merasmikan pameran terapi seni penghuni Jabatan Penjara Malaysia di Muzium Penjara di Banda Hilir di sini hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Jabatan Penjara Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 100 pegawai psikologi untuk ditempatkan di penjara seluruh negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Omar berkata, peranan pegawai psikologi penting dalam mengurangkan masalah stres dan memberi semangat kepada banduan yang sedang menjalani hukuman.

Menurutnya, penambahan pegawai itu mengikut keperluan berdasarkan penambahan jumlah banduan dipenjara setiap tahun dan situasi sekarang seramai dua orang pegawai bagi sebuah penjara yang keseluruhan terdapat 38 buah penjara di seluruh negara.

Katanya, dianggarkan lebih 50 pegawai psikologi diperlukan bagi memenuhi keperluan itu yang mana peranan mereka turut bertindak sebagai kaunselor.

"Alhamdulillah dulu tak ada pegawai psikologi dan sekarang telah ada sejak jawatan itu diperkenalkan di penjara pada 2011.

"Selain pegawai psikologi, pegawai perubatan psikiatri juga kita mohon dengan JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) bagi membantu jabatan penjara," katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Omar
Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Seri Zulkifli Omar

Zulkifli berkata demikian ketika sidang akhbar selepas majlis perasmian pameran terapi seni penghuni Jabatan Penjara Malaysia di Muzium Penjara di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Majlis itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob dan hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani.

Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata, penganjuran pameran itu sebagai medium terapi pemulihan ke atas banduan bagi menterjemahkan perasaan dan emosi stres mereka menerusi seni lukisan, tenunan songket, pembuatan arca dan sebagainya.

Menurutnya, terapi yang melibatkan lebih 200 banduan itu termasuk banduan radikal dan kaedah ini telah lama dipraktikkan di negara luar seperti Arab Saudi yang dilihat dapat memberi impak positif bagi membantu banduan itu lebih berkeyakinan serta mengubah kehidupan mereka kepada lebih baik.

Katanya, daripada terapi itu juga terhasil kemahiran yang boleh memberi pulangan pendapatan kepada jabatan dan banduan yang menghasilkan produk itu sendiri melalui jualan songket tenung Pahang, batik dan banyak lagi.

"Kita nak bina semula semangat mereka dalam masyarakat dengan mempunyai prinsip hidup kerana sudah pasti ada di antara banduan yang stres contohnya, banduan yang telah lama, banduan tiada tarikh bebas dan sebagainya jadi itu yang kita mahu bantu," katanya.