Cabul: Himpit motosikal, pegang payudara

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BALIK PULAU - Seorang pengawal keselamatan dicekup polis selepas terbabit dalam dua kes cabul membabitkan dua wanita berasingan di sini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, suspek berusia 25 tahun ditahan di tempat kerjanya di Bayan Lepas pada jam 12.30 tengah malam tadi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, suspek yang berasal dari Balik Pulau itu mengaku terlibat dalam dua kes cabul sebelum ini.

"Suspek ditahan selepas polis menerima dua laporan dari dua mangsa yang didakwa dicabulnya. Modus operandinya adalah dengan menunggang motosikal dan menghimpit mangsa sehingga mangsa memberhentikan motosikal lalu memegang payudara mereka.

"Hasil semakan, suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau melibatkan jenayah sama iaitu mencabul. Pada tahun 2016, suspek terlibat dalam dua kes dan telah dipenjara selama enam bulan dan dua sebatan.

"Tahun berikutnya, suspek telah melakukan sekali lagi kesalahan itu dan dipenjara enam bulan serta satu sebatan. Bagi kes tahun lalu, suspek telah membuat pengakuan namun tiada laporan dibuat," katanya kepada media tadi.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan suspek direman sehingga 7 Januari untuk siasatan.

Anbalagan berkata, polis menerima satu laporan polis dari mangsa yang mendakwa dicabul suspek di tepi Jalan Teluk Kumbar, Bayan Lepas, 3 Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

"Dalam kejadian pada jam 8.30 malam itu, mangsa berusia 23 tahun yang sedang menunggang motosikal terpaksa memberhentikan motosikalnya apabila dihimpit seorang lelaki bermotosikal. Mangsa memyedari dia diekori suspek dari Jalan Bukit Lama sehingga ke simpang jalan ke Kampung Masjid Teluk Kumbar.

"Suspek memberhentikan motosikalnya berhampiran mangsa lalu memegang payudaranya. Suspek melarikan diri setelah mangsa menjerit.

"Tiada saksi awam dan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tersebut. Mangsa tidak sempat melihat nombor plat motosikal suspek dan dia tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Tambahnya, polis turut menerima laporan polis dari mangsa kedua yang berusia 21 tahun.

"Kes kedua berlaku lewat petang semalam yang mana, mangsa dihimpit suspek di jalan utama di hadapan Balai Bomba Kampung Terang, Balik Pulau. Suspek terus melarikan diri selepas memegang payudara mangsa dan mangsa terus beredar dari kawasan berkenaan.

"Bagaimanapun, ketika mangsa tiba berhampiran Pondok Polis Pulau Betong, mangsa sekali lagi dihimpit suspek lalu memberhentikan motosikalnya.

"Suspek mengulangi perbuatannya dengan memegang buah dada mangsa. Tiada saksi awam namun mangsa sempat melihat nombor plat motosikal suspek," katanya.

Anbalagan berkata, berdasarkan maklumat dari mangsa kedua, suspek akhirnya berjaya ditahan.