Rokok seludup dirampas di Tumpat

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said (dua, kanan) bersama para pegawainya menunjukkan rokok putih yang dirampas pada sidang akhbar di Pengkalan Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor hari ini.
- foto:BERNAMA
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said (dua, kanan) bersama para pegawainya menunjukkan rokok putih yang dirampas pada sidang akhbar di Pengkalan Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor hari ini. - foto:BERNAMA
A
A
A

TUMPAT - Sebanyak 2,150 karton rokok putih bernilai RM287,208 termasuk cukai berjaya dirampas dalam operasi berdekatan Kampung Chenerong Kubu Baru di sini, awal pagi semalam.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, rampasan dilakukan ketika sepasukan anggota PPM melakukan pemantauan di sekitar sempadan sempena Op Landai kira-kira jam 2.45 pagi.

Beliau berkata, ketika itu pasukannya telah terserempak dengan sebuah lori yang dalam keadaan mencurigakan dan bertindak mengekori kenderaan terbabit.

Katanya, sebaik menyedari diekori, pemandu lori terus memecut dan memasuki satu lorong sebelum berhenti di tepi jalan dekat tepi sungai Pangkalan Nangka.

"Anggota PPM Pengkalan Kubor yang membuat pemeriksaan mendapati pemandu lori terbabit sudah melarikan diri.

"Pemeriksaan di dalam lori mendapati ada 43 kotak besar mengandungi rokok tanpa cukai import. Kesemua barangan berserta lori kemudiannya dibawa pulang ke markas untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media di Markas PPM Pengkalan Kubor di sini hari ini.

Hadir sama, Pegawai Pemerintah PPM Pengkalan Kubo, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad.

Menurutnya, keseluruhan rampasan termasuk rokok, lori dan cukai adalah sebanyak RM307,240 dan akan diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan susulan.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Norzaid berkata, sejak Januari hingga Oktober tahun ini, PPM Pengkalan Kubor sudah mencatatkan sebanyak 36 kes tangkapan dan rampasan pelbagai jenis barangan dengan nilai rampasan sebanyak RM6.8 juta.

"PPM Wilayah 3 sentiasa komited terhadap aktiviti penyeludupan di sempadan yang semakin meningkat setiap tahun yang didorong oleh permintaan tinggi di negara jiran dan juga tempatan sejak kebelakangan ini.

"Pihak kami akan membanteras penyeludupan secara berterusan untuk memastikan aktiviti ini dapat ditumpaskan walaupun kini berdepan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu dalam musim tengkujuh," katanya.

Norzaid berkata, pihaknya tahu ada penyeludup yang akan mengambil kesempatan di saat anggota PPM sibuk menyelamatkan mangsa banjir namun keadaan itu tidak akan dibiarkan berlaku.

Katanya, penduduk yang tinggal di pesisiran Sungai Golok diminta agar menyalurkan maklumat tentang aktiviti menyalahi undang-undang dengan menghubungi talian terus 09-7211622. - Bernama