Parkir tiada, pelanggan pun tak datang

Mohd Diah Saan mengosong kedainya berikutan tiada pengunjung selain tiada ruang parkir di premisnya.
A
A

KUALA PILAH - Seorang peniaga di Jalan Kuala Pilah-Batu Kikir di sini terpaksa menutup perniagaan kraftangan miliknya selepas jalan di situ dinaik taraf sehingga menyebabkan tiada ruang parkir kenderaan.

Mohd Diah Saan, 60, berkata, kini tiada lagi pelanggan yang singgah ke premisnya yang beroperasi sejak 30 tahun lalu.

"Kawasan di sini telah dimajukan untuk pembinaan taman perumahan yang melibatkan pembesaran jalan dan melalui tapak premis saya.

"Pada Mac lalu, kontraktor berkenaan bersetuju merobohkan premis ini sebelum mengalihkan ke tapak baharu dan kesemua kos ditanggung mereka," katanya.

Bagaimanapun katanya, kerja-kerja menurap jalan telah menghampiri pintu masuk ke premisnya selain pembinaan penghadang jalan dan longkang.

"Kesannya menyebabkan tiada ruang untuk parkir kenderaan dan menyukarkan pelanggan singgah. Akhirnya saya telah mengosongkan premis dan menyimpan semua barang kraftangan di rumah," katanya.

Sementara itu, Yang Dipetua MDKP, Syahrul Nizam Saleh ketika ditemui berkata, peniaga berkenaan boleh berniaga di lokasi lain yang lebih sesuai atau datang bertemu dengan pihaknya bagi mendapat penjelasan dan pendapat berkaitan.

"Setakat ini kami tidak pernah mengeluarkan arahan kepada Mohd Diah untuk memberhentikan operasi perniagaannya. Kebiasaannya kita akan mengeluarkan arahan secara bertulis enam bulan sebelum sesebuah premis itu diarahkan tutup.

“Bagaimanapun, buat masa ini MDKP membekukan sementara permohonan membina premis perniagaan di tepi jalan yang membabitkan tanah rizab jalan.

“Kita membenarkan dia membina premis di tepi jalan di atas tanah miliknya atau menyewa dari orang lain," katanya.