MPSJ bakal serbu pusat jagaan, taska tidak berlesen

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid
Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid
A
A
A

SUBANG JAYA - Bagi mengelakkan insiden kecuaian serta kemalangan membabitkan pusat jagaan, taska dan tadika, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bakal mengadakan operasi penguatkuasaan di premis itu di kawasan pentadbirannya bermula bulan ini.

Operasi bersepadu secara besar-besaran itu turut akan disertai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS).

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, ia bagi memastikan perkhidmatan ditawar di premis itu di seluruh kawasan pentadbiran MPSJ mematuhi standard serta garis panduan dibenarkan bagi mengelakkan kemalangan tidak diingini.

Menurutnya, berdasarkan rekod MPSJ, terdapat sebanyak 99 pusat jagaan dan 147 premis taska yang menjalankan operasi di pentadbiran MPSJ hingga November lalu.

Bagaimanapun, pemeriksaan di tapak mendapati terdapat premis yang menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen perniagaan yang sah walaupun berdaftar dengan agensi lain termasuk JKM.

“Kami minta pemilik pusat penjagaan, taska dan tadika di seluruh kawasan pentadbiran MPSJ untuk memastikan premis perniagaan mereka mempunyai lesen perniagaan dan iklan yang sah sebelum memulakan operasi perniagaan.

“MPSJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana premis yang tidak berlesen semasa operasi dijalankan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata, kesemua pemilik premis perniagaan pusat jagaan, taska dan tadika digesa segera mengemukakan permohonan lesen.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kegagalan mematuhi arahan tersebut boleh dikenakan tindakan kompaun RM 1,000 atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen di bawah UUK 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPSJ) 2007.

“Untuk sebarang pertanyaan, pemilik perniagaan boleh hadir ke ibu pejabat MPSJ atau menghubungi Jabatan Pelesenan MPSJ di talian 0380263131 sambungan 3173, 3176, 3177, 7418 atau 4321,” katanya.