'Aura' Paul Walker masih dirasai

Todak Racing teruja jayakan Drive for Paul Drift Show

A
A
A

PEMBABITAN Todak Racing selaku salah satu penaja utama penganjuran Drive for Paul Drift Show by Drift Factory Malaysia yang berlangsung di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Sungai Besi, Kuala Lumpur baru-baru ini hanyalah satu permulaan untuk melangkah lebih jauh dalam bidang permotoran tempatan dan seterusnya ke arena antarabangsa.

Menariknya semasa program berkenaan, pelakon Hollywood, Cody Walker, 31, telah tampil membuat kunjungan di booth Todak Racing dan berkongsi keterujaannya apabila berpeluang merasai pengalaman menaiki kereta drift yang dipandu oleh pemandu profesional dari Todak Racing sendiri.

CODY begitu teruja dengan kemeriahan dan sambutan yang diberikan oleh pengunjung.
CODY begitu teruja dengan kemeriahan dan sambutan yang diberikan oleh pengunjung.

Cody yang pertama kali berkunjung ke Malaysia sama sekali tidak menyangka negara ini memiliki ramai peminat abangnya, mendiang Paul Walker yang terkenal menerusi siri filem Fast & Furious. Hal itu dapat dilihat menerusi sambutan lebih 700 pengunjung yang hadir ke program tersebut.

Program anjuran Retro Havoc Malaysia dan Reach Out World Wide (ROWW) dengan kerjasama Todak Racing itu didedikasikan untuk memperingati mendiang pelakon berkenaan.

Teruja

Cody berkata, beliau sangat teruja dan tidak menyangka cuaca panas di negara ini tidak menghalang peminat-peminat abangnya untuk memeriahkan program berkenaan yang bermula seawal jam 10 pagi.

“Terima kasih kerana menghargai abang saya. Walaupun cuaca panas, mereka sanggup datang bagi memeriahkan lagi program ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

TODAK Racing memberi peluang kepada pengunjung merasai sendiri pengalaman drift bersama Taxi Rides by Drift Factory.
TODAK Racing memberi peluang kepada pengunjung merasai sendiri pengalaman drift bersama Taxi Rides by Drift Factory.

Menurut Cody, beliau terharu sebaik menerima jemputan untuk program berkenaan yang perasmiannya disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi.

“Di peringkat dunia, tiga program sama pernah dianjurkan dan saya memilih Malaysia kerana sebelum ini saya pernah menanam impian untuk bertandang ke sini,” katanya.

Sementara itu, Pengasas merangkap Presiden Todak Racing, Mohamed Aizuddin Mohamed Khairi berkata, pembabitan pihaknya bukan saja dilihat sebagai satu sokongan kepada industri permotoran negara bahkan merupakan batu loncatan untuk pasukannya beraksi di peringkat yang lebih tinggi.

TODAK Racing juga amat berbangga kerana dapat bekerjasama dengan rakan penaja Monster Energy dalam menyedia dan menyelenggara aktiviti sepanjang acara itu berlangsung.
TODAK Racing juga amat berbangga kerana dapat bekerjasama dengan rakan penaja Monster Energy dalam menyedia dan menyelenggara aktiviti sepanjang acara itu berlangsung.

Katanya, antara aktiviti diadakan sempena program berkenaan adalah seperti pertunjukan kereta dan basikal, jualan produk, memperkenalkan pelumba negara selain persembahan artis oleh Shiha Zikir dan Razak A’ai.

Selain menyediakan pelbagai aktiviti menarik buat pengunjung, Todak Racing juga mengambil kesempatan menampilkan dua pelumbanya iaitu Mohamad Hafez Kamarudin yang telah menjuarai beberapa siri perlumbaan antaranya Malaysia Super Turismo untuk kategori Ultimate 1800 dengan memandu kereta Honda EK9 selain Malaysia Speed Festival.

Lebih menarik, Todak Racing juga memberi peluang kepada para pengunjung merasai sendiri pengalaman drift bersama Taxi Rides by Drift Factory yang pasti menjanjikan pengalaman paling menarik buat mereka.

Misi Todak Racing adalah untuk menjadi jenama kelab permotoran contoh di Malaysia yang berkemampuan menyokong usaha kerajaan dalam mengembangkan sukan permotoran dan juga menganjurkan pelbagai acara berkaitan permotoran dari semasa ke semasa.

Todak Racing juga berharap program seumpama itu dapat terus dilaksanakan dan berharap peminat dunia permotoran tempatan terus memberikan sokongan.

Drive for Paul Drift Show

Merupakan satu acara pertunjukan kereta yang didaftarkan di bawah tabung DRIVE 4 PAUL. Ia diadakan bersempena memperingati mendiang Paul Walker, Megastar filem drifter terulung, Fast & Furious.Istimewanya mengenai acara tersebut, selain persembahan kereta, penganjur turut mengumpul dana untuk disumbangkan kepada organisasi bantuan bencana Reach Out Worldwide (ROWW) yang diasaskan oleh Paul sendiri.Pada 30 November 2013, Paul Walker maut dalam kemalangan jalan raya di Santa Clarita, utara Los Angeles, Amerika Syarikat.