Bas HoHo tambah enam lokasi persinggahan

Kar Hing (empat dari kanan) menyempurnakan gimik pelancaran HoHo Bus Out Circut di Pentas Utama, Expo Antarabangsa Perak (PIEX) di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
A
A

IPOH - Perkhidmatan bas pelancongan Perak Hop-On Hop-Off (HoHo) akan menambah enam lagi lokasi persinggahan mulai 23 November ini.

Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak, Tan Kar Hing berkata, lokasi baharu itu termasuklah Lost World of Tambun, Ladang Limau Bali Tambun, Gua Sam Poh Tong, Bandar Gopeng, Kellie's Castle dan Silveritage Medan Gopeng.

Menurutnya, penambahan enam lokasi itu menjadikan keseluruhan lokasi persinggahan bas HoHo sebanyak 18 lokasi.

"Kerajaan negeri menyedari berlakunya lonjakan terhadap industri pelancongan di negeri ini dan usaha ini tidak akan terhenti. Oleh sebab itu kita perluaskan lagi perkhidmatan bas HoHo ini.

"Perkhidmatan lokasi baharu ini kita harap pelancong akan dapat menikmati keindahan kawasan menarik di sekitar Ipoh," katanya selepas merasmikan HoHo Bus Out Circut Launching di Pentas Utama, Expo Antarabangsa Perak (PIEX) di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.

Sementara itu, Kar Hing berkata, sejak memulakan operasi 23 Mac lalu, seramai 3,053 pelancong telah menggunakan perkhidmatan bas HoHo berkenaan.

Menurutnya, pelancong yang menggunakan perkhidmatan ini akan turut mendapat maklumat daripada pemandu pelancong terlatih sepanjang perjalanan mereka ke lokasi-lokasi berkenaan.

Beliau berkata, sebanyak tiga bas disediakan untuk perkhidmatan ini dengan enam kali kekerapan perjalanan sehari.

"Bagi pengenalan lokasi baharu ini, kita memperkenalkan harga promosi bagi sehari perjalanan tanpa had bagi warga tempatan RM12 bagi dewasa manakala RM10 bagi kanak-kanak, OKU (orang kurang upaya) dan warga emas.

"Bagi perjalanan dua hari tanpa had bagi dewasa warga tempatan pula dikenakan RM20 manakala kanak-kanak, OKU dan warga emas hanya membayar RM10. Tempoh promosi ini sehingga hujung tahun ini," katanya.

Dalam pada itu, Kar Hing berkata, selain pelancong warga tempatan, bas HoHo turut digunakan pelancong asing dari Jepun, China, Indonesia dan Singapura.