1MDB: Najib fail notis usul tangguh perbicaraan

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan permohonan notis usul untuk menangguhkan perbicaraan kes meminda laporan akhir pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi beliau dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy yang dijadualkan bermula Isnin ini.

Notis usul itu difailkan kelmarin menerusi firma guaman Tetuan Shafee&Co menamakan Pendakwa Raya dan Arul Kanda sebagai responden.

Dalam notis berkenaan, bekas Perdana Menteri itu memohon supaya perbicaraan yang dijadualkan bermula Isnin ini sehingga 29 November di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan ditangguh dan memohon bermula pada 13 Januari 2020.

Turut disertakan dalam notis usul itu afidavit sokongan yang diikrarkan Najib kelmarin yang merupakan tertuduh pertama dalam kes itu.

Najib memberi alasan, beliau dan barisan peguamnya hanya ada sehingga 2 Disember ini bagi membuat persediaan untuk membela diri terhadap pertuduhan lain yang dihadapinya iaitu menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (kes SRC).

Menurut Najib, sekiranya perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini diteruskan, ia dibimbangi akan memprejudiskannya berikutan beliau dan pasukan peguamnya memerlukan masa munasabah serta mencukupi bagi menyediakan pembelaan beliau dalam kes SRC, di mana beliau berdepan dengan pertuduhan yang serius.

Semalam, Hakim Mohamed Zaini memutuskan untuk meneruskan perbicaraan kes meminda laporan akhir pengauditan 1MDB tersebut pada Isnin seperti dijadualkan sebelum ini, selepas berpendapat terdapat kesukaran untuk mencari tarikh lain.

Keputusan itu susulan permohonan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan pada 7 November lepas, untuk mengosongkan tarikh perbicaraan berikutan saksi utama yang akan dipanggil memberi keterangan dalam kes tersebut sedang memberi keterangan dalam pemeriksaan balas pada perbicaraan kes Najib yang menghadapi pertuduhan menyeleweng RM2.3 bilion dana 1MDB. - Bernama

Artikel Berkaitan: