Majlis Tindakan Kos Sara Hidup rangka formula tangani kos

Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail
A
A
A
KUALA LUMPUR – Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara yang bertujuan memantau kesan pelaksanaan sistem Cukai Jualan Dan Perkhidmatan (SST) giat merangka formula yang boleh digunakan kerajaan dalam menangani kos sara hidup rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata antara dapatan awal majlis berkenaan ialah mengemukakan cadangan pelaksanaan bantuan pas bulanan tanpa had.

Katanya pas berkenaan diberikan kepada pengguna perkhidmatan Rapid Rail dan Bas Rapid dan diskaun tambang KTM dan komuter mengurangkan beban rakyat berkait dengan bidang pengangkutan.

"Semua cadangan itu dibincangkan dalam majlis ini, ia diangkat kepada jemaah menteri sebelum dilulus dan dimasuk dalam ucapan Belanjawan 2019 oleh Kementerian Kewangan baru-baru ini, ini antara hasil awal majlis ini.

"Selain itu, ada beberapa lagi perbincangan pada peringkat idea yang sedang diusahakan di peringkat eksekutif yang saya pengerusikan dan di peringkat kluster, iaitu kluster pengangkutan, pendidikan dan kesihatan yang dipengerusi oleh Ketua Setiausaha di kementerian masing-masing," katanya.

Saifuddin berkata demikian ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Belanjawan 2019 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Jelasnya, apa yang dilakukan majlis berkenaan merupakan usaha berterusan kerajaan ke arah menggembleng seluruh potensi yang ada dalam ruang lingkup keupayaan kerajaan untuk mencari dan mengusahakan formula terbaik dalam menangani masalah beban sara hidup rakyat.

Katanya, majlis tersebut ditubuhkan kerajaan Barisan Nasional namun ia dilihat sebagai idea yang baik untuk diteruskan kerajaan Pakatan Harapan.

"Ia diwujud kerajaan lepas, cuma tidak kesampaian dari segi perjalanannya apabila kerajaan beralih, tetapi saya lihat ia idea yang baik, ia platform efektif kalau kementerian-kementerian ini dapat digerak bersama kerana pada saya kos sara hidup tidak boleh diurus secara terpisah oleh satu-satu kementerian, ia harus merangkumi penglibatan kementerian lain yang terbabit," katanya.
Artikel Berkaitan:


Majlis itu dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dianggotai beberapa kementerian seperti Pengangkutan, Pendidikan, Kesihatan dan KPDNHEP, bertujuan mencari jalan meringankan kos sara hidup yang berkaitan. - Bernama