Tiga warga Indonesia dipenjara 40 bulan

Andy (kiri), Chandra Saputra (tiga, kiri) dan Sulaiman (lima,kiri) ketika dibawa keluar daripada kamar perbicaraan selepas dijatuhkan hukuman berkenaan.
Andy (kiri), Chandra Saputra (tiga, kiri) dan Sulaiman (lima,kiri) ketika dibawa keluar daripada kamar perbicaraan selepas dijatuhkan hukuman berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman 10 bulan penjara ke atas tiga warga Indonesia selepas kesemua mereka mengaku bersalah memindah barangan larangan import awal bulan ini.

Tertuduh, Sulaiman, 30; Andy, 38 dan Chandra Saputra, 20 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Siti Hajar Ali.

Kesemua mereka turut diperintahkan menjalani hukuman penjara selama 30 bulan jika gagal menjelaskan semula duti import bernilai RM57,600 yang tidak berbayar.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa dengan niat bersama dan menyedari telah memindahkan 18,000 paket rokok dengan nilai cukai sebanyak RM194,112 dari sebuah bot pancung ke tiga buah kenderaan.

Tertuduh juga dengan niat melakukan kesalahan itu untuk mengelak larangan terhadap barangan yang merupakan barangan larangan pengimportannya di bawah Perintah Duti Kastam.

Sulaiman, Andy dan Chandra didakwa telah melakukan kesalahan itu di sekitar Sungai Tiram Ulu Tiram di sini kira-kira jam 5 pagi pada 6 November lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(v)(aa) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan).

Ia memperuntukkan denda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000 yang mana lebih tinggi atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

Dalam penghakimannya, Siti Hajar turut memerintahkan barangan rampasan termasuk sebuah bot pancung dan tiga kereta iaitu dua daripadanya adalah jenis Hyundai Sonata dan sebuah Toyota Camry dilucutkan hak.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Mohd Nafizi Ramli manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Difahamkan, kesemua tertuduh juga gagal menjelaskan bayaran semula duti import bagi barangan berkenaan.