Gagal seludup burung

Dua lelaki bersama sangkar burung yang dirampas dalam penahanan berkenaan.
Dua lelaki bersama sangkar burung yang dirampas dalam penahanan berkenaan.
A
A
A

KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Tanjung Sedili berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar pelbagai jenis burung selepas menahan sebuah bot di perairan Pengerang di sini malam kelmarin.

Pengarah APMM Zon Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, bot itu ditahan pasukan peronda APMM kira-kira jam 10.35 malam di kedudukan kira-kira lima batu nautika dari tenggara Tanjung Setapa.

“Pemeriksaan mendapati bot yang dikendalikan dua lelaki itu membawa kira-kira 40 sangkar burung mengandungi pelbagai spesies termasuk burung murai batu iaitu spesies yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

“APMM juga percaya burung itu cuba diseludup ke Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Zulfadli berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor sedang menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 60 (1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Beliau berkata, kesemua rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai RM45,000.

Pada hari sama kira-kira jam 5 petang, APMM Zon Tanjung Sedili turut menahan sebuah kapal pengangkut Gas Asli Cecair (LNG) yang berdaftar di Hong Kong di perairan Permatang Timur, Pantai Timur Johor.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut.

Artikel Berkaitan:

“Jika didapati bersalah mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.