Ibu bapa dari 'neraka'

Mangsa dipercayai turut disimbah air panas beberapa kali oleh ibu bapanya ketika dikurung dalam sangkar kucing tersebut. - FOTO: DOKUMEN MAHKAMAH
Mangsa dipercayai turut disimbah air panas beberapa kali oleh ibu bapanya ketika dikurung dalam sangkar kucing tersebut. - FOTO: DOKUMEN MAHKAMAH
A
A
A

SINGAPURA - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun di Singapura yang dikatakan mati dibunuh ibu bapanya sendiri dipercayai turut dikurung di dalam sangkar kucing.

Perkara itu didedahkan ahli patologi forensik kepada Mahkamah Tinggi semalam berdasarkan kesan luka melecet pada muka dan kulit kepala mangsa.

Dr Chan Shijia yang memeriksa sangkar berukuran 91 sentimeter panjang, 58 sentimeter lebar dan 70 sentimeter tinggi itu berkata, terdapat kemungkinan seseorang yang dikurung mendapat kesan calar akibat bergesel dengan jaring besi ketika ia cuba bergerak dalam ruang sempit seperti itu.

Beliau memberi keterangan pada hari kedua perbicaraan ke atas Azlin Arujunah dan Ridzuan Mega Abdul Rahman, masing-masing berusia 27 tahun yang didakwa membunuh dengan niat dengan menyebabkan kecederaan serius pada anak mereka.

Mereka turut berdepan tuduhan berkaitan tindakan penderaan lain termasuk mencubit mangsa dengan playar, memukul dengan penyapu dan mengurung budak itu dalam sangkar kucing.

"Kesan separa terbakar darjah kedua meliputi 75 peratus tubuh mangsa. Ia menyebabkan kesakitan melampau kerana ia masuk ke dalam saluran darah. Mangsa turut patah tulang hidung selain tisu lembut antara bibir dan gusinya juga terkoyak," jelas Dr Shijia.

Menurutnya, kecederaan parah yang mengakibatkan pendarahan pada kepala dan muka kanak-kanak itu menyumbang kepada kematiannya.

"Kecederaan seperti itu memberi kesan kepada pelbagai organ," ujarnya ketika menjelaskan bagaimana kecederaan parah boleh membawa maut.

Artikel Berkaitan:

Kira-kira seminggu sebelum mangsa meninggal dunia pada 23 Oktober 2016, kanak-kanak itu turut disimbah dengan air panas dipercayai sebanyak empat kali oleh ibu bapanya. - Agensi