Kerjasama MCA-UMNO hipokrit, kata Dr Mahathir

Dr Mahathir pada sidang media selepas Program Sarapan Bersama NGO Tanjung Piai di Warung 800 Pekan Nanas pagi tadi.
Dr Mahathir pada sidang media selepas Program Sarapan Bersama NGO Tanjung Piai di Warung 800 Pekan Nanas pagi tadi.
A
A
A

PONTIAN - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kerjasama MCA dan UMNO sebagai hipokrit kerana dua parti di bawah Barisan Nasional (BN) itu hanya berlakon untuk mendapat kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Menurutnya, parti itu memainkan sentimen perkauman apabila bersuara mengenai ras yang sepatutnya pengundi Islam perlu mengundi calon mereka.

Bagaimanapun katanya, calon pada PRK Tanjung Piai dipilih dalam kalangan bukan Islam.

“Tidak ikhlas, hipokrit di depan kononnya pejuang Melayu tetapi bila mai (datang) sini bukan Melayu pun calonnya, tetapi semata-mata dikira untuk menang PRK.

“Memang macam itulah perangai mereka dari Pas dan BN, cakap lain buat lain,” katanya kepada pemberita pada Program Sarapan Bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Tanjung Piai di Warung 800 Pekan Nanas di sini pagi tadi.

Hadir sama, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengarah Jentera Pakatan Harapan (PH) PRK Parlimen Tanjung Piai, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Program dihadiri lebih 300 wakil NGO tempatan bertujuan mendekati masyarakat selain membantu kempen PH pada PRK Parlimen Tanjung Piai.

Pada PRK kali ini, calon PH, Karmaine Sardini berdepan cabaran calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng; calon Gerakan, Wendy Subramaniam; Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz dan dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock serta Faridah Aryani Abd Ghaffar.

PRK Parlimen Tanjung Piai ditetapkan 16 November ini susulan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, dari PH pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.

Artikel Berkaitan: