Agong dimasyhur sebagai Canselor UPNM

527312
527312
A
A
A

PUTRAJAYA - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Pertahanan Nasional (UPNM).

Watikah pemasyhuran Seri Paduka dipersembahkan oleh Menteri Pertahanan Mohamad Sabu pada Istiadat Pemasyhuran pada konvokesyen Ke-10 UPNM di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Turut berangkat ke istiadat berkenaan ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menzahirkan penghargaan atas pemasyhuran sebagai Canselor, Sultan Abdullah bertitah, pemasyhuran itu membuka ruang untuk menabur bakti dan berkongsi fikiran terutama dalam melestari pendidikan yang berhubung kait dengan bidang pertahanan serta keselamatan.

Dengan falsafah untuk menjadi sebuah universiti pertahanan premier di rantau ini, Seri Paduka bertitah, adalah wajar bidang pertahanan dijadikan sebagai agenda utama pengajian UPNM dan ia bersesuaian dengan objektif universiti untuk menjadi pusat kecemerlangan dalam bidang teknologi pertahanan, hal ehwal ketenteraan dan pengajian keselamatan.

Sultan Abdullah bertitah, UPNM perlu bergerak sejajar dan seiring perubahan dimensi keselamatan sejagat serta persekitaran strategik ketika dunia sedang berhadapan landskap politik, ekonomi dan strategik yang sentiasa berubah mengikut peredaran masa.

"Dunia kini dilanda era Revolusi Industri Keempat. Ini bermakna, teknologi pertahanan juga sangat jauh berbeza berbanding ketika Angkatan Tentera Malaysia ditubuhkan hampir 68 tahun yang lalu.

"Ketika ini muncul ekosistem baru yang berupaya mengubah struktur pertahanan sesebuah negara,” titah Seri Paduka.

Artikel Berkaitan:

Sultan Abdullah bertitah, pengajian di universiti itu wajar dikembangkan mencakupi bidang digital dan automasi pertahanan serta sistem siber fizikal pertahanan.

Yang di-Pertuan Agong turut menitahkan UPNM hendaklah berupaya melahirkan pemimpin masa hadapan yang boleh berbakti dalam menjayakan kelangsungan kepentingan strategik negara, satu daripada gagasan dan impian pengasas universiti itu.

Sultan Abdullah bertitah, pada hemat baginda, pemimpin seperti itu hanya boleh dilahirkan menerusi pendidikan ilmu dunia dan akhirat serta diterapkan dengan nilai patriotrisme nasional serta penghayatan kepada ikrar keramat 'Rukun Negara' selain penekanan kepada disiplin dan etos ketenteraan.

"Natijahnya, UPNM hendaklah memikul tanggungjawab dalam melahirkan pemimpin masa hadapan yang boleh menggalas amanah untuk mempertahankan kelangsungan strategik negara seiring perubahan landskap dunia,” titah Seri Paduka.

Seri Paduka bertitah, universiti itu perlu mengambil langkah berani melebarkan alam keilmuan dengan mengorak langkah menerokai pelbagai bidang sejajar dengan misi, visi dan objektif penubuhannya.

Sultan Abdullah turut bertitah Kementerian Pendidikan, Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia dan rakan industri pertahanan terus memberi sumbangan kepada UPNM supaya kelangsungannya kekal menjadi nadi utama penyumbang ke arah kemakmuran dan kedaulatan negara.

Pada istiadat yang menyaksikan seramai 969 graduan menerima ijazah, Seri Paduka berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Pengajian Strategik dan Hubungan Antarabangsa kepada Jeneral (B) Tan Sri Yaakob Mohd Zin dan Ijazah Kehormat kepada Jeneral (B) Tan Sri Abdul Rahman Abdul Hamid yang menerima Doktor Falsafah dalam bidang Pengurusan Sumber.

Sultan Abdullah turut berkenaan menyerahkan watikah pelantikan sebagai Pro-Canselor UPNM kepada bekas Panglima Angkatan Tentera, Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor. - Bernama