Rumah ibadat haram: PBT, badan agama perlu duduk semeja

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan (tengah) meninjau keadaan lalu lintas di Jalan Kerinchi hari ini. Turut hadir Anggota Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil (dua, kanan). - Foto Bernama
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan (tengah) meninjau keadaan lalu lintas di Jalan Kerinchi hari ini. Turut hadir Anggota Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil (dua, kanan). - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa tempatan (PBT) disarankan duduk semeja bersama badan-badan keagamaan bagi mengelak berlakunya lambakan rumah ibadat haram.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, berkata, inisiatif itu penting termasuk melihat semula prosedur operasi standard (SOP) pembinaan rumah ibadat sebagai langkah mengelak berlakunya kejadian yang boleh menjejaskan perpaduan kaum.

“Saya lihat ada keperluan untuk PBT bukan sahaja di Kuala Lumpur tetapi di PBT yang lain untuk adakan pertemuan dengan badan keagamaan untuk melihat kepada mungkin perlu dipertingkatkan dari segi SOP atau cara untuk tangani isu ini supaya kita dapat kekalkan perpaduan.

“Saya sendiri akan bincang dengan menteri dan timbalan menteri perpaduan untuk teliti perkara ini kerana kita perlu pelajar daripada insiden yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas lawatan turun padang bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur berhubung isu penyuraian trafik di Lembah Pantai di sini, hari ini.

Menurutnya, masyarakat juga perlu berhenti menjadi batu api sehingga mencetuskan ketegangan antara kaum terutama menerusi perkongsian pendapat di media sosial.

“Dari segi pemahaman rakyat Malaysia tentang isu rumah ibadat ini saya harap kita sentiasa sensitif bahawa kata-kata kita dalam media sosial jangan sampai api-apikan sentimen perkauman, tangani benda ini dengan baik dengan penuh hikmah.

“Walaupun satu rumah ibadah jika ia tidak diusahakan dengan baik ia ibarat nila setitik akan rosak susu sebelanga, rosak perpaduan, kita perlu tangani isu rumah ibadat haram dengan berhemah tidak kira berapa jumlahnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini Fahmi terlibat dalam usaha awal mengatasi isu pembinaan tempat ibadat tanpa kebenaran di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau dan mendapat perhatian pihak berkuasa yang mengambil tindakan mengosongkan tapak berkenaan.

Mengulas mengenai usaha mengatasi isu kesesakan trafik di kawasan Lembah Pantai khususnya di Kerinchi, Fahmi berkata, perkara itu memerlukan masa untuk ia dapat diatasi sepenuhnya.

“Penyelesaian yang diusahakan melibatkan Jalan Pantai Permai dan Jalan Pantai Murni di mana kita lihat banyak penempatan dan pengguna tidak cukup parkir menyebabkan banyak kenderaan di bahu jalan.

"Jadi kita sedang lihat untuk pembinaan dua parkir bertingkat, dan mengubah aliran trafik memandangkan jumlah kenderaan masuk yang banyak,” katanya.