VIPP wujudkan peluang syarikat tempatan lebih bersaing, berdaya maju

Sofal Synergy Sdn Bhd adalah antara syarikat vendor yang mengintai peluang bersama syarikat anchor lain sempena VIPP.
Sofal Synergy Sdn Bhd adalah antara syarikat vendor yang mengintai peluang bersama syarikat anchor lain sempena VIPP.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Inisiatif Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) melaksanakan Program Perkongsian Inovasi Vendor (VIPP) telah mewujudkan peluang kepada syarikat-syarikat tempatan untuk lebih bersaing dan berdaya maju.

VIPP juga menjadi platform terbaik kepada syarikat bumiputera khususnya untuk memperkenalkan tawaran kepada syarikat-syarikat anchor (induk) sebagai potensi vendor.

Sofal Synergy Sdn Bhd yang menawarkan perkhidmatan sistem perlindungan kebakaran adalah antara syarikat vendor yang mengintai peluang dan menjadikan VIPP sebagai platform berkesan mengembangkan perkhidmatan mereka kepada syarikat anchor lain.

Pengarah Urusannya, Mohd Fakhrulrazhi Abdullah berkata, syarikatnya bergerak sebagai vendor bermula empat tahun lalu sejak ditubuhkan pada 2013.

Menurutnya, pemilihan syarikat sebagai vendor oleh syarikat anchor bukan perkara mudah, melainkan potensi yang ada pada syarikat vendor untuk lebih maju.

Mohd Fakhrulrazhi
Mohd Fakhrulrazhi

“Berada di bawah program pembangunan syarikat vendor juga merupakan peluang daripada kerajaan yang membuka jalan kepada vendor-vendor terutama bumiputera. Banyak pendedahan dan pengalaman diperoleh.

“Kami berasa bertuah kerana ini adalah penyertaan kali pertama syarikat dalam pameran seperti ini.

Artikel Berkaitan:

“Syarikat anchor yang menggunakan khidmat kami sekarang telah membuka peluang untuk kami bersama dengan anchor lain. Terdapat padanan perniagaan, jadi kami ada peluang untuk menawarkan perkhidmatan kepada anchor lain,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Kanan Serba Dinamik Sdn Bhd, Mohd Fairuz Mohd Salleh berkata, sebagai sebuah syarikat yang berkembang daripada vendor kepada anchor, VIPP disifatkan mampu membantu syarikat tempatan untuk bersaing.

Menurutnya, Serba Dinamik juga mempunyai program vendor sendiri yang boleh menarik penglibatan syarikat tempatan yang berpotensi untuk memberikan khidmat vendor kepada mereka.

Mohd Fairuz
Mohd Fairuz

“Serba Dinamik berkembang menjadi anchor dalam tempoh kurang 10 tahun setelah menjadi vendor. Kini kami mempunyai sebanyak 60 vendor yang aktif.

“Dengan tunjuk ajar kami, banyak projek yang diberikan kepada syarikat vendor walaupun mereka tidak berpengalaman,” katanya.

VIPP yang bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan Melalui Inovasi dan Teknologi’ berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selama dua hari bermula Selasa lalu.

Program tersebut turut mempamerkan 16 pavilion oleh syarikat anchor dan potential anchor serta 12 reruai pameran oleh agensi teknikal dan institusi kewangan.