Pengundi Tanjung Piai dinasihat keluar awal untuk mengundi: SPR

A
A

SHAH ALAM - Seramai 52,698 daripada 52,986 pengundi layak mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai diseru menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih Sabtu ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun juga meminta pengundi supaya merancang perjalanan dan keluar awal pagi, selain tidak memilih untuk mengundi pada saat-saat akhir.

"Waktu mengundi ditetapkan dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

"Pengundi yang sudah menerima kad pengundi atau mengetahui maklumat pengundian boleh terus ke saluran mengundi dan tidak perlu membuat semakan di barung semakan SPR," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, mereka yang layak tetapi belum menerima maklumat boleh membuat semakan melalui portal semakan daftar pemilih klik di sini; Aplikasi MySPR Semak;

Hotline SPR di talian 03-8892 7018; atau SMS ke 15888 (taip SPRSEMAKNO. KAD PENGENALAN).

Katanya, pengundi perlu menyimpan maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih selain membawa kad pengenalan.

“Kad Pengundi dan catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan Kerani Pengundian Pertama (KP1) membuat semakan.

“Pengundi juga dinasihatkan tidak menyerahkan kad pengenalan kepada mana-mana pihak selain daripada petugas pilihan raya,” katanya.