X

Kindly register in order to view this article
!

Janji, isu diperjuangkan calon lebih realistik untuk dicapai

Calon-calon PRK Parlimen Tanjung Piai. Dari kiri: Badhrulhisham, Karmaine, Jeck Seng, Chuan Lock dan Wendy. - Foto Bernama
A
A

PONTIAN - Berbaki dua hari lagi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, pastinya calon yang bertanding akan meningkatkan lagi usaha mereka untuk menawan hati pengundi yang ternyata berbeza demografinya berbanding lapan PRK yang berlangsung selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sebelum ini.

Antara yang menjadi perbandingan pastinya manifesto atau janji yang dilihat ‘dekat dengan hati rakyat’, yang berkemungkinan menjadi faktor penentu bagi pengundi untuk memilih wakil rakyat bagi Parlimen mereka bagi tempoh berbaki kira-kira tiga tahun setengah.

Apa yang boleh dilihat, kebanyakan calon menjanjikan sesuatu yang lebih realistik, sekali gus menjadikan mereka yakin bahawa ia mampu dilaksanakan sekiranya seorang daripada mereka terpilih menjadi wakil rakyat Parlimen itu.

Bagi calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini pastinya lima fokus yang digariskan parti lebih awal menjadi tonggak baginya untuk menunaikan tanggungjawab sekiranya dipilih sebagai Ahli Parlimen Tanjung Piai.

Lima fokus itu adalah mencari jalan bantu tangani isu kos sara hidup, menangani isu berkenaan pencemaran alam dan sungai, memperbanyakkan rumah mampu milik, meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan dan perubatan serta meningkatkan peluang pekerjaan.

“Saya rasa selain lima isu yang dibangkitkan, kita sudah kenal pasti masa depan pembangunan di Tanjung Piai seperti jambatan baharu yang akan merentasi Sungai Pulai akan menjadi penghubung baharu dari Johor Bahru ke Tanjung Piai.

“Ini juga adalah satu faktor untuk menaikkan ekonomi dalam industri pelancongan, selain mengambil kira tiga sektor penting (di Tanjung Piai) iaitu dari segi ekonomi pertanian, perikanan dan industri,” katanya seawal ketika diumumkan sebagai calon PH, beberapa minggu lepas.

Karmaine (tengah) beramah mesra bersama penduduk setempat ketika hadir pada Forum Kopitiam di Kampung Penerok.
Karmaine (tengah) beramah mesra bersama penduduk setempat ketika hadir pada Forum Kopitiam di Kampung Penerok.

Keyakinan yang dilahirkan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai itu pastinya disebabkan dorongan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan yang kedua-duanya dipimpin kerajaan PH.

Sementara itu, dua lagi calon juga tidak mahu ketinggalan dalam menangani isu yang menjadi kebimbangan rakyat di Parlimen Tanjung Piai.

Bagi calon Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Wendy Subramaniam, beliau menggariskan tiga perkara utama yang dilihat boleh memastikan kesejahteraan penduduk kawasan Parlimen tersebut.

Tiga perkara itu memfokuskan kepada usaha menambah peluang pekerjaan dalam usaha mempertingkatkan peluang ekonomi dan industri masyarakat Tanjung Piai, menangani kenaikan kos sara hidup selain menjaga kebajikan dan keselamatan sosial masyarakat di situ.

“Saya akan berusaha untuk memajukan ekonomi dan sektor pelancongan tempatan untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi menarik balik anak muda bekerja di sini,” kata beliau yang sudah pun berjaya bertemu penduduk meliputi 60 peratus daripada 27 kawasan pusat daerah mengundi (PDM) setakat Isnin.

Wendy (kanan) beramah mesra dengan penduduk pada program Walkabout di Pasar Pagi Pekan Nenas. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Wendy (kanan) beramah mesra dengan penduduk pada program Walkabout di Pasar Pagi Pekan Nenas. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Sementara itu, calon Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz menyifatkan tawaran parti itu bukanlah bersifat berhati-hati tetapi menggambarkan satu ‘kejujuran’ sebagai pembangkang.

“Bukan semuanya material. Tawaran tersebut sesuai dengan keperluan tempatan. Selain itu, membangunkan jati diri penting untuk membina masyarakat yang berpegang teguh dengan agamanya agar masalah sosial dapat dihindari,” tambah Badhrulhisham.

Menurut beliau, sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat, menjadi tanggungjawabnya untuk membawa suara rakyat supaya keperluan asas itu tidak diabaikan oleh kerajaan.

Badhrulhisham (duduk tiga dari kiri) menyifatkan tawaran partinya bukanlah bersifat berhati-hati tetapi menggambarkan satu ‘kejujuran’ sebagai pembangkang. - Foto FB Berjasa
Badhrulhisham (duduk tiga dari kiri) menyifatkan tawaran partinya bukanlah bersifat berhati-hati tetapi menggambarkan satu ‘kejujuran’ sebagai pembangkang. - Foto FB Berjasa

Berjasa menawarkan empat tawaran iaitu melahirkan lebih ramai usahawan atau pemborong Melayu bagi membantu petani dan nelayan; mengetengahkan projek usahawan desa yang memasarkan produk di peringkat lebih tinggi; memaksimumkan projek pembangunan tanah untuk ekonomi orang Melayu serta memperkasa institusi kekeluargaan melalui Program Keluarga Syurga Tanjung Piai.

PRK Parlimen Tanjung Piai bakal menyaksikan pertandingan enam penjuru, Sabtu ini, yang turut melibatkan calon Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dan dua calon Bebas iaitu Faridah Aryani Abdul Ghaffar dan Dr Ang Chuan Lock. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus