Mahasiswa berintelek, matang bantu kepimpinan negara

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
A
A
A

ARAU - Mahasiswa berintelek perlu mempunyai identiti tersendiri, prinsip hidup dan ideologi matang untuk membantu kepimpinan negara pada masa hadapan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah ketika perasmian Festival Konvokesyen (Festkon) ke-14 di dataran kampus tetap UniMAP Pauh Putra semalam.

Titah baginda, golongan bawah 25 tahun adalah kelompok istimewa kerana mereka bakal mencetuskan hala tuju kepimpinan negara.

"Masih ada kelompok ini yang keliru, tiada arah serta sedang mencari identiti," titah baginda.

Baginda bertitah, identiti golongan ini dapat dibentuk melalui proses peneguhan pihak universiti dengan penganjuran program sepanjang pengajian yang menerapkan elemen peningkatan nilai diri, silibus kokurikulum bagi ketahanan mental dan fizikal, pengalaman serta corak kehidupan sebagai mahasiswa

"Bagaimanapun perubahan itu bergantung kepada mahasiswa itu sendiri dan mempunyai keinginan memperbaiki diri dan berpegang kepada prinsip.

"Tanpa prinsip hidup, kehidupan ibarat layang-layang yang hanya mengikut arah angin bertiup tetapi melalui prinsip hidup dan ilmu bermanfaat, mahasiswa ibarat sepohon kayu merimbun diteguhkan lagi dengan akar kukuh," titah baginda.

Baginda turut berpesan mahasiswa perlu berfikir rasional dengan mempertimbangkan perkara daripada pelbagai sudut sama ada baik dan buruk.

Artikel Berkaitan:

"Buatlah keputusan yang matang walaupun disanggah pelbagai pihak. Berdiri seorang tidak menjadikan anda salah dan berdiri ramai tidak menjanjikan anda di pihak yang benar," titah baginda.

Baginda turut memuji usaha sekretariat Festkon kerana komitmen bagi menjayakan program berkenaan.