Tak logik saman kerana tak pakai seluar dalam: Pengarah JPJ

Notis asal dikeluarkan JPJ dan notis yang telah diubah suai.
A
A

SEREMBAN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan menafikan dakwaan anggotanya mengenakan kompaun terhadap seorang pemandu lori atas kesalahan tidak memakai seluar dalam, susulan tular di media sosial Facebook baru-baru ini.

Pengarahnya, Azrin Borhan berkata, notis larangan penggunaan kenderaan atau PG1 yang diberi kepada pemandu berkenaan dalam sekatan jalan raya Ops Statik di Kilometer 10 Jalan Seremban-Port Dickson pada Isnin lalu itu sebaliknya telah diubah suai.

Menurutnya, anggotanya telah mengeluarkan notis berkenaan selepas pemeriksaan kenderaan mendapati tayar gandar dua kiri bahagian dalam telah botak atau terkoyak.

"Notis itu untuk mengarahkan pemandu menukar tayar yang telah rosak dan perlu hadir ke JPJ untuk pemeriksaan lanjut bagi elak dikenakan tindakan saman, tapi kita dapati salinan notis diberi telah ditambah ayatnya iaitu kesalahan lain adalah tidak memakai seluar dalam dikompaun RM600.

"Sangat tidak logik kita beri saman atas kesalahan itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Jelas beliau, notis PG1 dikeluarkan bagi kesalahan berkaitan kesalahan teknikal kenderaan sahaja, bukannya berkaitan dengan tata kelakuan pemandu seperti mana yang telah diubah suai pada notis tersebut.

Sehubungan itu, pihaknya sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban semalam sebagai penafian sekali gus mengelakkan orang ramai salah faham terhadap jabatan itu.

"Kejadian seumpama ini pertama kali berlaku kepada JPJ Negeri Sembilan dan saya harap orang ramai jangan mudah percaya dan semak dulu dengan kita jika ada penyebaran fitnah sebegitu," katanya.

Sementara itu, pihaknya turut berkongsi maklumat sebenar mengenai perkara itu di Facebook JPJ Negeri Sembilan dan turut mendapat pelbagai reaksi netizen yang meminta jabatan berkenaan mengambil tindakan saman.

Pengguna Facebook, Zuone Zal meninggalkan komen, "Saman baliklah, saman fitnah. Ajar sikit, tau nak 'kondem' orang saja. Dah buat salah, terimalah."

Cermin Kehidupan pula menulis, "Kasi ajar, jangan beri muka pada kaki 'spin' (putar belit) ini. Semua benda nak edit (sunting), buat panas line orang. Nampak benar tipu, deme (mereka) tambah."