X

Kindly register in order to view this article
!

India tawar 300 biasiswa kepada pelajar Malaysia

Dr Maszlee Malik - Foto fail Bernama
A
A

PARIS - Kerajaan India menawarkan biasiswa penuh kepada 300 pelajar Malaysia untuk melanjutkan pengajian mereka.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, perkara itu disampaikan kepadanya oleh Menteri Pembangunan Sumber Manusia India, Dr Ramesh Pokhriyal Nishank dalam pertemuan mereka pada Rabu, di luar Sesi Ke-40 Persidangan Am Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di sini.

Menyifatkan pertemuan itu sebagai konstruktif dan membuahkan hasil, Maszlee berkata, tawaran itu meliputi 200 biasiswa di bawah program Pengajian di India bagi mahasiswa meneruskan pengajian dalam pelbagai bidang di India, manakala bakinya ditawarkan kepada 100 pelajar lepasan ijazah untuk mengikuti subjek Teknologi Maklumat di universiti berprestij mereka.

"Pertemuan dengan menteri paling kanan dalam Kabinet India ini sangat berhasil. India bukan sahaja mahu memperbaharui kerjasama Malaysia-India dalam bidang pengajian tinggi tetapi juga menjalin kerjasama lebih erat dalam bidang berkenaan," katanya kepada Bernama selepas pertemuan itu.

Selain India, Maszlee turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pendidikan Azerbaijan, Jeyhun Bayramov, yang menunjukkan minat untuk belajar dari Malaysia tentang cara untuk menyediakan Pelan Tindakan Pendidikan Malaysia 2013-2025, yang disifatkannya sebagai komprehensif dan holistik dalam semua perkara berkaitan pendidikan negara.

"Beliau (Bayramov) berminat untuk meneroka lebih banyak kerjasama dengan Malaysia selepas beliau berbincang dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali Ke-18 pada Oktober lepas.

"Beliau berminat dengan sistem pendidikan kita dan meninjau peluang untuk menghantar pelajar dari negara itu meneruskan pengajian peringkat siswazah di Malaysia," katanya.

Beliau memberitahu, Azerbaijan juga akan turut dipelawa untuk meneroka lebih banyak peluang pendidikan di Malaysia tidak lama lagi.

Undangan oleh wakil daripada Pasukan Petugas Antarabangsa Guru Bagi Pendidikan 2030 disampaikan kepada Maszlee untuk menghadiri mesyuarat meja bulat bersama-sama Menteri Pendidikan pada Forum Dialog Dasar Ke-12 yang akan berlangsung Disember ini di Emiriah Arab Bersatu. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!