Pelajar Kolej Komuniti Pasir Salak maut

Keadaan motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa di dalam parit di lokasi kejadian.
Keadaan motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa di dalam parit di lokasi kejadian.
A
A
A

KAMPUNG GAJAH - Seorang pelajar Kolej Komuniti Pasir Salak maut manakala rakannya cedera selepas motosikal dinaiki mereka merempuh sebuah kereta sebelum terbabas ke dalam parit di KM21 Jalan Bota Kanan - Teluk Intan, sekitar jam 2.30 petang tadi.

Mangsa Mohamad Husaini Sazali, 19, membonceng motosikal yang ditunggang rakan kolejnya, Aliff Najwan Mohd Noor Zaidi, 19, sebelum dilaporkan tercampak ke dalam parit berhampiran lokasi kemalangan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan pada jam 2.43 petang melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda dengan sebuah kereta jenis Proton Waja di Kampung Jawa, Kampung Gajah.

"Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu seorang imam dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Jawa menghala ke Teluk Intan, manakala motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa dari arah Bota Kanan menuju ke Teluk Intan.

"Setibanya di lokasi kejadian, kereta tersebut membelok masuk ke simpang sebelah kanan dan motosikal yang datang dari arah belakang dikatakan cuba mengelak ke sebelah kanan namun terlanggar kereta berkenaan di bahagian hadapan sebelah kanan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, motosikal yang dinaiki dua pelajar tersebut kemudiannya terbabas memasuki parit dan Mohamad Husaini yang membonceng motosikal tersebut disahkan maut di lokasi kejadian manakala rakannya Aliff Najwan mengalami cedera ringan di kaki kiri.

"Mangsa yang maut berasal dari Sungai Wangi Ayer Tawar, Perak, manakala rakannya yang cedera Aliff Najwan berasal dari Pelabuhan Klang, Selangor dan menerima rawatan di Hospital Changkat Melintang.

"Mayat Mohamad Husaini akan dibedah siasat di Hospital Changkat Melintang jam 5.30 petang ini dan tiada sebarang tangkapan dilakukan serta kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: