Mesej Joker kepada menteri

A
A
A

HINGGA ke hari ini, ramai yang masih memperkatakan mengenai filem Joker.

Biarpun sudah lebih sebulan filem terbitan Warner Bros itu ditayangkan, para peminat dan penonton masih tidak dapat mengelak daripada menyelitkan sebahagian daripada pengajaran filem tersebut apabila membicarakan realiti persekitaran mereka.

Sama ada dari segi pengajaran isu kesihatan mental, penderaan, institusi keluarga hinggalah ke petikan dialog ‘orang jahat ialah orang baik yang tersakiti’ semuanya masih belum reda.

Entah bagaimana, filem tersebut mencuri perhatian dalam ruang awam politik negara. Mungkin kerana latar utama filem tersebut yang menyentuh secara langsung tentang perbezaan kelas ekonomi antara golongan atasan dengan bawahan, golongan berada dengan golongan kurang berharta, golongan berpengaruh dengan golongan terpinggir dan golongan elit berkuasa dengan golongan massa yang putus harapan.

Hakikatnya, memang ada pengajaran yang boleh diambil oleh para pemimpin dan menteri kita jika mereka berkelapangan untuk menonton daripada filem Joker lakonan Joaquin Phoenix itu. Paling utama mestilah mesej ekonomi politik dan komunikasi politik.

Memang benar, ada dasar-dasar baharu yang bagus cuba diperkenalkan kerajaan hari ini seperti sarapan percuma untuk semua murid sekolah oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik namun banyak juga dasar-dasar yang boleh dipersoalkan cuba diperkenalkan dan cara dasar itu disampaikan kepada rakyat juga turut bermasalah.

Antaranya ialah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) menggantikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Bagaimana langkah itu mampu mendekatkan struktur ekonomi politik kita kepada struktur ekonomi politik Gotham City yang melahirkan Joker secara tidak langsung?

Langkah itu mengakibatkan kebergantungan negara kepada hasil minyak menjadi meningkat.

Kerajaan BN dahulu memperkenalkan GST meskipun pada kadar yang mungkin boleh diperdebatkan tetapi berhasil untuk menstabilkan pendapatan kerajaan supaya tidak terlalu bergantung kepada turun naik harga minyak dunia atau keputusan OPEC dan Bank Pusat Amerika.

Artikel Berkaitan:

Apabila kerajaan hari ini memperkenalkan SST, harga barang bukan sahaja naik, malah hasil kerajaan hilang berbilion ringgit akibat ketirisan pendapatan oleh para peniaga yang lari daripada membayar cukai.

Kemudian, kebergantungan kerajaan kepada hasil minyak meningkat apabila harga minyak dunia turun, hasil kerajaan berkurangan dan banyak bantuan rakyat terpaksa dikurangkan.

Kerajaan perlu berhati-hati, nasib Gotham City tidak harus berlaku di Malaysia di mana para peniaga yang kaya-raya mendapat manfaat dengan sistem percukaian yang tidak progresif manakala golongan pertengahan terhimpit dengan pengurangan bantuan dan insentif.

Dari segi komunikasi politik pula, tindakan sesetengah pemimpin yang berterusan menyindir rakyat sebagai malas berusaha di samping cadangan yang menghina kebijaksanaan rakyat wajib dihentikan segera.

Kita tidak ingin nasib yang menimpa Thomas Wayne sekeluarga menimpa pemimpin kita.

Kita juga tidak ingin nasib yang menimpa Murray Franklin lakonan Robert De Niro dalam filem Joker itu menimpa mana-mana pemimpin negara kita.

Kedua-dua watak Thomas Wayne dan Murray Franklin iaitu seorang berharta dan berkuasa, manakala seorang lagi berpengaruh dan popular memperkecilkan kesusahan dihadapi golongan bawahan di Gothan City.Saat ini, seperti mana jangkaan bekas pegawai Unit Perancang Ekonomi, Isham Jalil, kerajaan ada tiga pilihan untuk menangani masalah kewangan negara:

Pertama, memotong bantuan dan perbelanjaan kepada rakyat.

Kedua, meminjam dan menambah hutang negara untuk terus berbelanja.

Ketiga, menjual aset negara untuk menampung perbelanjaan.

Ketiga-tiga pilihan di atas adalah pilihan tidak baik yang bakal melahirkan Joker.

Pilihan yang baik adalah menghapuskan SST dan mengembalikan GST seperti mana cadangan Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri Dr Kamal Salih dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman.Hayatilah mesej ekonomi politik filem itu.