X

Kindly register in order to view this article
!

Mencari yang halal itu wajib

A
A

MERANTAU ke negara orang merupakan sesuatu yang digalakkan dalam Islam.

Sejarah membuktikan para sahabat Rasulullah SAW dan ulama terdahulu banyak mengembara sama ada untuk menyebarkan Islam atau menuntut ilmu.

Dalam surah al-Mulk, ayat 15, ALLAH SWT berfirman: "Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah merata-rata ceruk rantaunya serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan ALLAH; dan kepada ALLAH jualah (kamu) dibangkitkan hidup semula."

Kenapa ALLAH menyuruh kita berjalan di muka bumi ciptaan-Nya? Ia kerana dengan melihat ciptaan ALLAH yang pelbagai dan indah itu meningkatkan iman kita.

Dalam al-Quran banyak ayat-ayat memerintahkan kita memerhati alam ciptaan ALLAH.

Saya suka memerhati apa jua jenis tumbuhan apalagi pokok bunga. Tersangat indah ciptaan ALLAH dan betapa hebatnya ALLAH yang menciptakan alam ini. Pepatah Melayu ada mengatakan jauh berjalan luas pemandangan.

Sangat tepat sebenarnya pepatah Melayu itu. Lagi banyak kita berjalan, lagi banyak yang kita temui.

Lagi banyak kita merantau, lagi banyak kita menimba pengalaman hidup.

Pengalaman itu tidak sama dengan ilmu yang kita peroleh dalam buku-buku yang kita baca. Pengalaman itu adalah sesuatu yang sangat tinggi nilainya berbanding ijazah PhD sekalipun.

Saya memulakan penulisan artikel ini ketika menaiki kereta api dari Sheffield ke kota London, United Kingdom. Di situ, saya banyak bergerak menggunakan kaki dan kenderaan awam.

Ia sesuatu yang jarang saya lakukan di Malaysia kerana kemudahan awamnya yang sangat memuaskan. Fokus saya kali ini ialah berkenaan makanan halal.

Betul tak jika saya katakan bahawa bagi yang ambil berat tentang halal haram, makanan halal adalah perkara yang paling kita ambil cakna sekali apabila ingin mengembara ke luar negara terutama negara-negara yang majoriti rakyatnya adalah bukan Muslim?

Teknologi

Bagi yang tidak pernah sampai ke negara Barat, tentu mereka sangat bimbang bila memikir tentang makanan halal.

Persoalan yang akan bermain dalam kepala kita ialah di mana hendak mencari makanan halal? Bagaimana nak tahu makanan itu halal? Malah kebimbangan itu akan menyebabkan kita membawa pelbagai bekalan, bukan?

Sebenarnya zaman sekarang ini tidaklah sukar untuk dapatkan makanan halal. Dengan kemudahan teknologi, kita boleh membuat carian awal tempat-tempat yang memudahkan kita untuk mendapatkan makanan halal.

Ada aplikasi khusus untuk makanan halal dan setakat pengetahuan terhad saya, tidak kurang daripada sepuluh aplikasi yang berkaitan makanan halal. Antaranya adalah Meembar.

Kita boleh bertanya kepada mereka yang banyak pengalaman berada di luar negara dalam bab makanan halal.

Saya pernah ke Australia dan New Zealand. Ada sahabat yang memberi panduan berguna untuk saya. Pencarian makanan halal di negara Barat boleh berpandukan bahan-bahan yang digunakan dalam sesuatu produk.

Di negara yang begitu ketat dalam aspek penguatkuasaan peraturan untuk menyatakan bahan-bahan yang digunakan pada setiap produk mereka tentu tidak merisaukan kita.

Paling tidak, keyakinan kita pada makanan halal boleh digantungkan kepada bahan-bahan yang dinyatakan pada pembalut makanan berkaitan. Kita juga boleh mencari makanan halal di restoran masakan Timur Tengah. Kebiasaannya restoran itu dimiliki oleh Muslim.

Pada zaman sekarang, kawasan tumpuan pelancong pasti akan ada restoran atau kiosk makanan Timur Tengah. Jika kita masih ada keraguan, kita boleh bertanya pada rakan-rakan kita yang bekerja di negara berkenaan atau para pelajar yang kita kenali. Sekarang tidak susah untuk membuat semakan kedua (double check) jika ada keraguan.

Makanan vegetarian juga boleh dijadikan pilihan tetapi pastikan tiada alkohol digunakan semasa penyediaannya. Atau kita boleh makan apa sahaja sumber alam yang ada di negara tersebut seperti ikan, udang, sayur-sayuran dan buah-buahan. Semua itu halal. Malah jika mengembara bersama keluarga, pilihlah untuk tinggal di apartmen yang ada dapur kerana boleh memasak dan ia sangat menjimatkan.

Akhir kalam, ALLAH tidak pernah menyusahkan kita. Segalanya disediakan untuk kita nikmati. Jadi carilah yang halal kerana mencari yang halal itu adalah wajib! Wallahuaklam.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!