Ganti ‘kubur’ dengan kaedah lain, elak salah faham terhadap Islam

Kubur dibina ditepi jalan di Kg Seri Tanjung di sini yang tular di media sosial sejak tiga hari lalu.
Kubur dibina ditepi jalan di Kg Seri Tanjung di sini yang tular di media sosial sejak tiga hari lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Langkah menggunakan ‘kubur’ bagi menyedarkan masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kebersihan wajar diganti dengan kaedah lain supaya tidak memberi gambaran tidak baik terhadap imej Islam.

Penolong Ketua Pesuruhjaya Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Aizi Saidi Abdul Aziz berkata, walaupun bertujuan memberikan pengajaran kepada masyarakat, langkah itu tidak wajar kerana kubur merupakan tempat mulia.

“Kubur akan menjadi sebahagian daripada taman-taman syurga. Ia adalah tempat yang baik sehingga Islam amat menjaga berkaitan tanah perkuburan bagi umatnya, apatah lagi jika sewenang-wenangnya dibina di tepi jalan walaupun hanya berbentuk replika.

Aizi Saidi
Aizi Saidi

“Bagi masyarakat setempat mungkin tahu ia adalah replika tetapi apa pula pandangan orang luar terutama golongan bukan Islam yang tidak tahu cerita sebenar.

"Kita khuatir jika ia menimbulkan persepsi lain seolah-olah di kawasan itu tanah perkuburannya tidak diselia dengan baik dan merendahkan imej agama kita,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Aizi Saidi berkata, pihaknya menyarankan agar ‘kubur’ itu dibuang dan digantikan dengan kaedah lain yang lebih baik.

Artikel Berkaitan:

“Kalau boleh kita mohon pihak berkaitan dapat hilangkan atau buang ‘kubur’ itu dan gantikan dengan cara lain.

“Banyak lagi cara lain yang boleh digunakan untuk menghalang mereka yang tidak bertanggungjawab membuang sampah di tempat itu.

"Selain meletakkan papan tanda, boleh juga gunakan penguatkuasaan bagi membendung perkara itu,” katanya.