Dulu tak boleh, sekarang dah boleh

Banyak bantuan khas diumumkan pada PRK Tanjung Piai sama ada sebelum atau semasa tempoh berkempen.
A
A

KETIKA era pemerintahan Barisan Nasional (BN), apabila berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK) akibat kematian ataupun peletakan jawatan seseorang wakil rakyat, golongan yang paling gembira ialah rakyat di kawasan pilihan raya berkenaan.

Apa tidaknya, demi mahu mengalahkan pembangkang, BN menggunakan segala sumber dan kewangan kerajaan yang ada untuk memenangi hati pengundi.

Walaupun tempoh kempen hanya lebih kurang 10 hari, kita dapat melihat menteri-menteri BN turun secara ramai-ramai. Mereka berceramah, berkunjung ke segenap pelosok kampung, menaburkan pelbagai bentuk gula-gula sehingga jutaan ringgit hanya dalam satu PRK sahaja.

Itu apa yang telah dilakukan BN. Kini, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berusaha untuk membina imej ‘Malaysia Baharu’ rupa-rupanya pun ‘berperangai’ macam BN.

Lihatlah apa yang berlaku sepanjang kempen pada PRK Parlimen Tanjung Piai ketika ini. Sudah banyak ‘durian runtuh’ diberikan kepada pengundi di sana.

Pengumuman pemberian bantuan khas nelayan sebanyak RM1,000 oleh Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal kepada seramai 1,513 nelayan di kawasan Johor Selatan termasuk Tanjung Piai mencetuskan pertikaian yang didakwa tidak sesuai ketika berlangsungnya PRK.

Bantuan khas yang dianggarkan bernilai lebih RM1.5 juta akan diberikan secara berperingkat melalui tiga fasa itu dilihat tidak jauh bezanya dengan BN sebagai satu taktik untuk memancing undi.

Sahruddin menafikan dakwaan bahawa bantuan yang diberikan sebagai ‘gula-gula’ sambil menegaskan pemberian bantuan itu telah diberikan sejak tahun 2015 dan tidak sepatutnya menjadi isu, namun ia tetap menimbulkan anggapan yang bukan-bukan.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) adalah yang mula membantah dan berasa kecewa dengan tindakan PH yang menyalahgunakan sumber kerajaan pada PRK Tanjung Piai.

Beretika

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 membidas percubaan memancing undi daripada nelayan itu biarpun tidak bertentangan dengan undang-undang sedia ada, namun ia jelas tidak beretika kerana menggunakan duit pembayar cukai bagi memenangi pilihan raya.

Kita amat setuju dengan kenyataan Bersih 2.0 itu agar Sahruddin menghentikan pemberian peruntukan kerajaan yang lain sehingga selepas PRK sebagai tanda mematuhi prinsip pilihan raya bebas dan adil.

Untuk berlaku adil, kerajaan perlulah berhenti mengumumkan sebarang pemberian dan peruntukan kepada kawasan yang sedang berlangsung PRK.

Selain Menteri Besar Johor, beberapa menteri juga berlumba-lumba mengumumkan peruntukan wang tunai ketika lawatan ke Tanjung Piai sama ada sebelum atau semasa tempoh berkempen.

Antaranya, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Syed Saddiq mengumumkan peruntukan RM4 juta untuk projek naik taraf kemudahan sukan dan rekreasi di Tanjung Piai, manakala Rina yang juga Ketua Wanita Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan penyerahan geran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Parlimen Tanjung Piai dengan peruntukan RM230,000.

Salahuddin turut tidak ketinggalan apabila menyediakan memperuntukkan RM3 juta bagi projek naik taraf tiga jeti nelayan dalam kawasan Parlimen berkenaan.

Malahan, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri tidak setuju peruntukan yang diberikan oleh kerajaan untuk kawasan Tanjung Piai adalah bagi meraih sokongan pengundi kawasan itu.

Kata Dr Mahathir, kerajaan hanya menjalankan tugas seperti biasa dan pemberian peruntukan itu secara kebetulan hampir dengan tarikh PRK Parlimen Tanjung Piai.

Sememangnya seseorang menteri mempunyai kuasa untuk memberikan peruntukan mengikut waktu dan keperluan kepada yang berhak, namun dari segi moral, ia masih boleh dipertikaikan.

Menteri-menteri PH yang dulu pernah menjadi pembangkang kerap mengkritik dengan lantang perbuatan BN yang menabur gula-gula semasa PRK.

Menteri-menteri PH perlu menyedari memberikan peruntukan ketika kempen PRK adalah sesuatu perkara yang sensitif. Ia tetap dianggap sebagai perbuatan memancing undi.

Dulu tak boleh, sekarang dah boleh.