X

Kindly register in order to view this article
!

Rejim Zionis terus bedil Genting Gaza

Salah sebuah rumah di Khan Yunis di selatan Genting Gaza yang musnah akibat dibedil rejim Zionis hari ini. - Foto: AFP
A
A

GENTING GAZA - Sekurang-kurangnya empat lagi penduduk Palestin terbunuh dalam serangan udara pada hari kedua dilancarkan rejim Zionis ke atas wilayah Gaza hari ini.

Konflik yang kembali memuncak di Genting Gaza itu berpunca daripada operasi dilancarkan tentera Israel yang meragut nyawa komander gerakan Jihad Islam, Baha Abu al-Ata bersama isterinya hingga menyebabkan serangan balas lebih 200 roket ke Tel Aviv.

Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan jumlah kematian sejak semalam telah mencecah sekurang-kurangnya enam orang manakala 45 termasuk 23 kanak-kanak cedera.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memuji Pasukan Pertahanan Israel (IDF) kerana melakukan 'operasi yang tepat' malah beliau juga berikrar akan terus menyasarkan anggota kumpulan terbabit.

Pemimpin yang berada di ambang kejatuhan itu juga mendakwa kononnya Israel tidak berniat untuk meningkatkan ketegangan di wilayah terbabit, namun akan melakukan segala yang diperlukan atas alasan untuk mempertahankan negara tersebut.

Beberapa ahli politik Israel percaya keputusan Netanyahu mengarahkan pembunuhan al-Ata bertujuan untuk meraih sokongan daripada sayap kanan selepas Israel kini berdepan kebuntuan politik selama lebih enam bulan.

"Ini adalah usaha terdesak Netanyahu untuk kekal memegang jawatannya selepas dua kali gagal dalam pilihan raya pada tahun ini," kata Ketua Parti Senarai Bersama Arab, Ayman Odeh.

Dalam satu kenyataan lain, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) turut mengecam tindakan keganasan baharu Israel ke atas Gaza dan menggesa Tel Aviv bertanggungjawab kerana mencetuskan semula konflik berbahaya di wilayah tersebut.

Liga Arab juga menyifatkan operasi serangan udara berterusan itu adalah satu bentuk pencerobohan ganas terhadap penduduk Palestin. - Agensi


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!