Bukan mustahil tumbangkan Gajah Perang

Aidil Zafuan
Aidil Zafuan
A
A
A

TONGGAK pertahanan berpengalaman, Aidil Zafuan Abd Radzak optimis Harimau Malaya mampu melakar keputusan positif ketika membuat perhitungan dengan Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam esok.

Menurut bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, setiap pemain Harimau Malaya sudah bersedia sepenuhnya untuk cuba mengejutkan skuad Gajah Perang di hadapan ribuan penyokong mereka sendiri.

“Siapapun yang akan kita hadapi, kita akan tetap lawan mereka dengan bersungguh-sungguh. Kita tidak akan bagi jalan mudah buat mereka.

“Dalam dunia bola sepak ini, tiada pasukan yang tidak boleh dikalahkan. Malah, Liverpool juga tidak kebal dan boleh ditewaskan. Jadi, bagi saya tidak mustahil untuk menewaskan Thailand,” katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Aidil Zafuan menyifatkan keputusan kalah atau menang malam ini akan bergantung kepada faktor bagaimana barisan pemain Harimau Malaya dapat menyerap rentak permainan skuad kendalian Akira Nishino itu.

“Apa yang penting esok adalah bagaimana pemain-pemain kita sendiri menampilkan persembahan yang baik dan bersatu hati sepanjang 90 minit perlawanan.

“Memang ada perbezaan pasukan Thailand tahun ini berbanding ketika Piala AFF Suzuki tahun lalu. Kali ini pemain mereka lebih bagus. Kami akan menilai dan melihat perlawanan mereka yang terdahulu untuk mengenal pasti kelemahan dan kelebihan mereka,” jelasnya.

Mengulas mengenai kelibat penyerang berbisa Thailand, Teerasil Dangda yang disenaraikan Nishino pada pertemuan kali ini, Aidil Zafuan mengakui pemain yang beraksi bersama kelab Divisyen 1 Liga Jepun (J1), Sanfrecce Hiroshima itu mampu memberikan masalah kepada Harimau Malaya.

Artikel Berkaitan:

“Bagi saya, siapapun pemain yang diturunkan nanti harus bersedia mengekang serangan Thailand khususnya menerusi barisan penyerang mereka.

“Saya berharap segala perancangan dan taktikal yang diatur jurulatih (Tan Cheng Hoe) membolehkan kami mencipta kemenangan ke atas Thailand nanti,” ujarnya.