Tular laporan polis Setiausaha Japerun didakwa salah guna wang

Laporan polis yang tular di media sosial berhubung seorang Setiausaha Japerun yang didakwa menggelapkan wang untuk tujuan peribadi.
Laporan polis yang tular di media sosial berhubung seorang Setiausaha Japerun yang didakwa menggelapkan wang untuk tujuan peribadi.
A
A
A

ALOR GAJAH - Satu laporan polis yang mendakwa seorang individu berjawatan sebagai Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) di daerah ini tular di media sosial yang didakwa menggelapkan wang bagi tujuan berjudi.

Difahamkan menerusi laporan polis yang tersebar itu, individu itu tidak dapat dikesan sejak 24 September lalu hingga semalam berikutan dakwaan telah menggelapkan dana awam milik jawatankuasa sebuah DUN bernilai ribuan ringgit untuk tujuan berkenaan.

Selain itu turut terkandung keterangan mendakwa beberapa pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam DUN terbabit yang mengetahui dan sedia maklum mengenai kehilangan wang milik berkenaan selepas individu yang dimaksudkan hilang secara tiba-tiba.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Ghafaar Atan berkata, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari digesa mengambil tindakan tegas terhadap individu itu memandangkan laporan polis terhadapnya adalah serius kerana membabitkan integriti serta moral kakitangan kerajaan berkenaan.

"Sebagai wakil rakyat yang pernah berkhidmat di DUN itu saya yakin dan percaya rakyat kecewa dengan situasi yang berlaku.

"Keadaan ini kekal memberikan kesuraman kepada DUN tersebut hingga kami pemimpin bukan kerajaan menjadi rujukan mereka dan tempat mereka mengadu nasib lantaran masalah demi masalah melanda DUN berkenaan saat ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan, Arshad Abu mengesahkan menerima laporan polis berkenaan dan kes telah dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Adly yang ditemui pemberita bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

Artikel Berkaitan: