KPN tak terkecuali siasatan IPCMC

Mohamed Hanipa Maidin
Mohamed Hanipa Maidin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Ketua Polis Negara tidak terkecuali daripada pemakaian atau siasatan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata, semua aduan salah laku diterima IPCMC terhadap Ketua Polis Negara akan disiasat di bawah Seksyen 24 suruhanjaya berkenaan, sama seperti aduan lain yang diterima terhadap mana-mana anggota polis.

"Setelah IPCMC selesai menjalankan siasatan dan sekiranya dapatan siasatan mendapati wujudnya salah laku, maka tindakan tatatertib boleh diambil terhadap Ketua Polis Negara melalui penubuhan suatu Lembaga Tatatertib Khas yang akan ditubuhkan Ketua Setiausaha Negara," katanya dalam jawapan bertulis yang dipaparkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) yang meminta Perdana Menteri menyatakan sebab Ketua Polis Negara terkecuali daripada siasatan oleh IPCMC sepertimana dicadangkan dalam Rang Undang-Undang (RUU) IPCMC 2019 yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

RUU IPCMC 2019 yang dibentang buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 18 Julai lepas bertujuan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi meningkatkan integriti dan keupayaan PDRM.

IPCMC akan bertindak sebagai badan pemantau bebas untuk menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis.

RUU itu bagaimanapun dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk dibincang dengan lebih teliti sebelum dibawa semula ke Dewan Rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dalam satu usul pagi tadi menyatakan RUU itu akan dibentang semula selewat-lewatnya sebelum persidangan selesai Disember ini.

Artikel Berkaitan:

Menjawab soalan Zahidi Zainul Abidin (BN-Padang Besar) yang mahu tahu status mengenai pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar (Akta 803), Mohamed Hanipa berkata, RUU Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2019 dijangka dibahas semasa sesi Dewan Negara pada Disember ini.

"Kerajaan komited untuk memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 (Akta 803) selaras dengan perubahan dasar kerajaan bahawa penyebaran berita tidak benar boleh ditangani melalui undang-undang sedia ada," katanya.

Terdahulu pada Oktober lepas, Dewan Rakyat meluluskan RUU Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2019 hasil undian belah bahagi, pembentangan kali kedua setelah percubaan kali pertama memansuhkan akta itu gagal apabila persidangan Dewan Negara menolak RUU Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 pada September tahun lalu.

Sebelum itu RUU tersebut telah diluluskan oleh persidangan Dewan Rakyat pada 16 Ogos 2018. - Bernama