Pelajar tahfiz ditahan dipercayai tumbuk rakan asrama

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pelajar tahfiz sebuah madrasah di daerah ini ditahan selepas disyaki menumbuk rakan asrama sehingga mangsa disahkan mengalami kecacatan kekal di mata petang semalam.

Perbuatan suspek berusia 19 tahun dari Selangor itu hanya terbongkar selepas mangsa, 20, dihantar salah seorang ustaz bertugas di madrasah berkenaan bagi mendapatkan rawatan kerana pendarahan teruk di mata sebelum ditahan di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk rawatan lanjut pada Isnin lalu.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati pergaduhan itu berlaku kira-kira jam 10 malam pada Sabtu lalu berpunca rasa tidak puas hati di antara suspek dan mangsa.

Kata sumber lagi, siasatan juga mendapati mereka berdua mengalami masalah sejak lebih setahun lalu dan sering berlaku ejek-mengejek antara mereka sebelum ini sehingga menjadi punca pergaduhan pada hari kejadian.

"Bagaimanapun mangsa hanya memberi alasan yang kecederaan itu berpunca kerana terjatuh katil di asrama madrasah kepada bapanya, 50, yang datang melawat di wad HSNZ sejurus dimaklumkan pihak madrasah keadaan remaja itu.

"Namun, selepas ditanya berulang kali, mangsa akhirnya mengaku ditumbuk di mata oleh rakan di asrama (suspek).

"Akibat kejadian itu, doktor memaklumkan kepada bapa mangsa mata anaknya rosak teruk dan dilaporkan mengalami kecacatan kekal," katanya ketika dihubungi.

Susulan itu, bapa mangsa yang bertugas sebagai guru membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga di sini untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah.