Chikungunya di Perak serius

Sivanesan (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan komputer untuk kegunaan Klinik Pergigian Jelapang.
Sivanesan (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan komputer untuk kegunaan Klinik Pergigian Jelapang.
A
A
A

IPOH - Penularan wabak chikungunya di Perak diklasifikasikan sebagai serius dengan 71 kes direkodkan di tiga daerah sejak 18 Oktober lalu.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan berkata, daerah Batang Padang mencatatkan kadar jangkitan tertinggi dengan 44 orang diikuti Larut Matang Selama di Pokok Assam Zon 2 sebanyak 16 kes dan Kampar (11 kes).

Bagaimanapun menurutnya, semua kes berkenaan adalah terkawal tanpa melibatkan sebarang kematian atau mangsa dikuarantinkan.

"Bagi daerah Batang Padang, kawasan Kampung Baru Air Kuning dikategorikan sebagai hotspot dengan 21 kes diikuti 8 kes di Pekan Bidor dan Taman Tapah.

"Sementara kawasan Taman Tapah Baru, Taman Daya di Bidor dan Kampung Baru Kampung Pahang pula masing-masing tiga dan dua kes sebagai wabak terkawal," katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, kerajaan Perak memandang serius penularan wabak itu dan telah mengambil tindakan serta merta melalui penganjuran program kebersihan dan taklimat kesihatan di kawasan terancam.

Katanya, semua program dianjurkan itu mendapat kerjasama baik daripada agensi kerajaan lain dan penduduk setempat dalam usaha membendung wabak berkenaan.

"Kita menjangkakan wabak ini akan berakhir secara berperingkat dalam tempoh 20 hingga 25 November ini.

Artikel Berkaitan:

"Setakat hari ini, hanya tiga pesakit baharu dikesan iaitu di kawasan Malim Nawar dalam daerah Kampar, tetapi dijangka pulih dalam tempoh empat hari lagi," katanya.

Beliau berkata, tidak seperti denggi, penyakit chikungunya tidak begitu merbahaya sehingga boleh mengakibatkan kematian meskipun virus sama disebarkan daripada nyamuk aedes.

Justeru katanya, tiada keperluan untuk kerajaan negeri melakukan kuarantin terhadap mana-mana lokasi disebabkan wabak itu sepertimana maklumat tular di media sosial.

"Maklumat yang tular di media sosial meminta orang ramai mengelak dari mengujungi Tapah dan Bidor dalam tempoh terdekat adalah tidak tepat.

"Sebagai contoh, di pekan Bidor yang mempunyai kira-kira 5,000 penduduk, hanya ada lapan kes kumulatif dikesan, jadi tidak tepat melarang orang ramai pergi ke Bidor semata-mata kerana takut wabak ini," katanya.

Terdahulu, Sivanesan turut menyampaikan sumbangan komputer untuk kegunaan Klinik Pergigian Jelapang yang diwakili Pegawai Pergigian, Dr Jonathan Packiam.