Isu perkauman terus jadi bahan kempen pembangkang

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

CYBERJAYA - Pembangkang dilihat terus memainkan isu perkauman sebagai bahan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor untuk menarik sokongan pengundi terhadap mereka.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, perkara itu dapat dilihat apabila pembangkang berterusan menyerang kerajaan termasuklah dirinya dengan isu-isu melibatkan kaum.

"Sudah tentu kepada pengundi Cina, dia (pembangkang) akan cakap saya anti Cina dan kepada pengundi Melayu, mereka akan cakap saya anti Melayu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Pan - Asia E-Commerce Alliance (PAA) ke 60 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan pembangkang khususnya MCA akan memainkan isu perkauman sebagai bahan kempen susulan kerajaan mengurangkan dana ke atas Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (Unitar).

Ia susulan kerajaan sebelum ini dilaporkan akan memperuntukkan sekurang-kurangnya RM30 juta kepada kolej universiti itu dengan syarat MCA melepaskan kawalan mereka.

Katanya, tuduhan pembangkang yang mengatakan beliau seorang yang rasis sesuatu yang tidak masuk akal.

Mengulas lanjut Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau juga senada dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa pembangkang akan terus memainkan isu perkauman bagi sebagai bahan kempen PRK Parlimen Tanjung Piai.

Jelasnya, tindakan kerajaan mengurangkan peruntukan itu dibuat bagi membuktikan kerajaan hari ini mengamalkan prinsip yang sebenarnya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Dr Mahathir mendakwa pembangkang khususnya MCA menjadikan isu perkauman sebagai bahan kempen mereka.

Katanya, sedangkan ketika beliau menjadi Perdana Menteri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini, MCA juga tidak melakukan apa-apa.