12,281 tidak meneruskan persekolahan: MB Selangor

AMIRUDIN
AMIRUDIN
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 12,281 pelajar sekolah menengah dan rendah di Selangor didapati tidak meneruskan persekolahan mereka.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, daripada jumlah itu, seramai 11,031 pelajar merupakan sekolah menengah manakala sekolah rendah melibatkan seramai 1,250 murid.

Beliau berkata, bagi sekolah menengah, bilangan tidak meneruskan persekolahan atas sebab berhenti adalah seramai 10,094 pelajar.

"Seramai 549 tidak berminat ke sekolah, bekerja (183), masalah keluarga (123), sukar ke sekolah (43), berkahwin (19), takut ke sekolah (11) dan kemiskinan (9).

"Bagi sekolah rendah pula, faktor berhenti sekolah membabitkan 863 pelajar, masalah keluarga (198), tidak berminat ke sekolah (128), sukar ke sekolah (29), kemiskinan (15), takut ke sekolah (8), bekerja (7) dan berkahwin (2)," katanya pada sesi Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) hari ini.

Amirudin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Mazwan Johar (Amanah-Sungai Ramal) yang ingin mengetahui jumlah pelajar sekolah di Selangor yang tidak meneruskan pengajian dan langkah kerajaan negeri memastikan pelajar yang bekerja tidak ketinggalan dalam akademik.

Mengulas lanjut Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor juga tidak mempunyai sistem khusus untuk membantu pelajar sekolah yang mempunyai masalah kewangan atau kewarganegaraan.

"Namun JPN Selangor mempunyai cara untuk membantu pelajar yang layak antaranya Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP), program susu sekolah dan pelbagai lagi.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu Kementerian Pendidikan turut melaksanakan Program Ziarah Cakna untuk bertanya khabar dan memberi penerangan kepada keluarga," katanya.