Undang-undang tentera di Mindanao tak perlu dilanjutkan

Aktivis mendesak undang-undang tentera di wilayah Mindanao ditarik balik.
Aktivis mendesak undang-undang tentera di wilayah Mindanao ditarik balik.
A
A
A

MANILA - Polis Filipina (PNP) menyambut baik pengumuman Setiausaha Pertahanan, Delfin Lorenzo kelmarin untuk tidak melanjutkan undang-undang tentera di Mindanao.

Jurucakap PNP, Bernard Banac berkata, situasi di wilayah bergolak itu sudah kembali terkawal dengan kehadiran pasukan keselamatan.

"Semuanya dalam keadaan stabil dan terkawal. Situasi terkini memberi laluan untuk undang-undang tentera ditarik balik," katanya.

Seluruh Mindanao tertakluk kepada undang-undang tentera susulan serangan pengganas di bandar Marawi pada 2017.

Serangan itu mencetuskan peperangan selama lima bulan yang meragut 1,200 nyawa.

Tempoh lanjutan ketiga undang-undang tentera di Mindanao berakhir pada 31 Disember ini.

Undang-undang tentera membolehkan tentera mengenakan kawalan dengan langkah seperti melaksanakan perintah berkurung, mendirikan pusat pemeriksaan dan mengawal senjata di negara yang membolehkan penduduk awam memiliki senjata api.

Ia adalah perkara sensitif di Filipina kerana undang-undang tentera digunakan bekas diktator Ferdinand Marcos untuk terus berkuasa selama dua dekad yang berakhir pada 1986 dengan kebangkitan rakyat. - Agensi

Artikel Berkaitan: