[VIDEO] Terpaksa guna jet hidraulik alih kereta 'double park'

Paparan sekumpulan lelaki membantu mengalihkan kereta 'double park'.
A
A

BANGI - Satu rakaman video menunjukkan sebuah Toyota Wish dipercayai menghalang laluan apabila kenderaan itu diletakkan secara 'double park' menjadi tular di laman sosial.

Kejadian didakwa berlaku di Bangi apabila pemilik kereta Perodua Myvi gagal keluar dari tempat letak kereta berikutan dihalang oleh kenderaan tersebut.

Berdasarkan rakaman video berdurasi 7 minit 58 saat di Facebook We are Malaysians memaparkan sekumpulan orang ramai bekerjasama membantu mengalihkan kereta itu menggunakan jek hidraulik ke lokasi lain bagi membolehkan kereta Myvi dapat keluar.

Pada awalnya, dalam situasi itu, beberapa lelaki berkumpul dan berbincang bagaimana cara terbaik untuk mengalihkan Toyota Wish itu.

Tiba-tiba, dua lelaki muncul, masing-masing mengheret jet hidraulik dan meletakkan di bahagian hadapan tayar kereta bagi tujuan mengalihkan kereta tersebut.

Berkemungkinan lokasi kejadian itu berhampiran dengan sebuah bengkel.

Usaha dilakukan tidak berjaya dan beberapa lelaki dilihat mengalihkan jek hidraulik ke tayar di belakang sebelum kira-kira 10 lelaki menolak kereta Toyota Wish dan misi mereka berjaya!.

Apa yang dilakukan mereka, pastinya mendapat pujian dari warganet yang menyifatkan sikap kerjasama, bersabar dan saling bantu-membantu membuahkan hasil tanpa berlaku kecelakaan.

Kata Azura Abdul Rahim, "Betapa sabar dan bertimbang rasanya Myvi hitam, syabas!!! Kalau kena kat seseorang sudah pecah cermin tu."

Ada juga warganet memberitahu, apabila berhadapan dengan situasi itu, mereka lebih memilih untuk memecahkan cermin kereta dan menarik brek tangan sebelum mengalihkan kenderaan.

Kata Chan, "Pecahkan cermin, tarik 'hand brake' dan tolak sampai masuk longkang. Itu cara terbaik untuk pengajaran. Kenapa perlu buang masa dengan menolak begitu?"

Bagi Shawal Jamaludin pula, "Rakyat Malaysia ni bagus sebenarnya, sepakat, cuma sesetengah orang yang suka memecah belahkan muafakat rakyat Malaysia."