X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Perbicaraan kes 1MDB ditangguh: Peguam, saksi tidak sihat

A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak kerana peguam utama yang mewakili bekas perdana menteri itu dan saksi kesembilan pihak pendakwaan tidak sihat.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menangguhkan perbicaraan selepas dimaklumkan berhubung perkara itu oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram dan peguam Najib, Wan Aizuddin Wan Mohammed.

Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sepatutnya meneruskan pemeriksaan balas pembelaan ke atas bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, saksi kesembilan pihak pendakwaan pada hari ke-35 perbicaraan.

Sri Ram memaklumkan Shahrol Azral yang telah memberi keterangan mulai 23 September tidak dapat memberi keterangan kerana beliau tidak sihat dan mendapat cuti sakit (MC) sehingga esok.

Sementara itu, Wan Aizuddin memaklumkan mahkamah bahawa peguam kanan Muhammad Shafee telah diberikan MC mulai semalam sehingga esok selepas didiagnosis dengan sakit kerongkong teruk.

"Semalam, Muhammad Shafee menjalani pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik di Taman Tun Dr Ismail, Damansara di sini dan beliau didiagnosis dengan sakit kerongkong teruk.

"Beliau diberikan MC mulai semalam hingga esok. Dengan itu, kami memohon mahkamah yang mulia ini untuk menangguhkan perbicaraan hari ini dan tarikh perbicaraan esok dikosongkan," katanya.

Peguam itu turut mengemukakan sijil cuti sakit Muhammad Shafee kepada mahkamah.

Ini adalah kali pertama perbicaraan kes 1MDB ditangguhkan kerana anggota dalam pasukan peguam bela Najib jatuh sakit.

Pada Isnin, perbicaraan terpaksa dipendekkan kepada separuh hari kerana saksi dijangkiti selesema dan mahkamah menetapkan hari ini untuk meneruskan prosiding.

Sebelum ini, perbicaraan terpaksa ditanggungkan buat kali kedua selepas Najib diberikan MC kerana sakit mata.

Hakim Sequerah menetapkan 13 Disember untuk pengurusan kes bagi membolehkan kedua-dua pihak mendapatkan maklumat terkini berhubung tarikh baharu perbicaraan.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!