Yuran PIBG tak wujud

Datuk Rosli Yang Danian
Datuk Rosli Yang Danian
A
A
A

IPOH - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tidak boleh mengutip yuran daripada ibu bapa kerana bertentangan dengan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Persatuan Ibubapa-Guru) 1998.

Pengerusi Kumpulan Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti (KPIBK) Perak, Datuk Rosli Yang Danian berkata, PIBG hanya boleh mengutip sumbangan yang dipersetujui melalui mesyuarat agung tahunan dan tidak boleh memaksa ibu bapa memberikan sumbangan tersebut.

Menurutnya, cadangan pihak tertentu untuk menetapkan harga siling bagi yuran PIBG nyata tidak berasas malah mereka bukan pertubuhan yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan.

"Tiada paksaan kepada ibu bapa untuk menyumbang kepada PIBG, cuma PIBG memainkan peranan menyedarkan ibu bapa terhadap peranan mereka untuk membantu pihak sekolah bagi program pengajaran dan pembelajaran.

"Ibu bapa tidak harus terpengaruh dengan kenyataan pihak tertentu yang hanya mahu mengelirukan mereka kerana sebarang keputusan berkaitan sumbangan perlu dirujuk dengan Kementerian Pendidikan itu sendiri," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Sementara itu, Rosli berkata, sumbangan yang ditetapkan kepada ibu bapa tidak harus dihadkan atau diletakkan siling harga tertentu.

Katanya, jumlah sumbangan ditetapkan di dalam mesyuarat dipersetujui mengikut kemampuan ahli di kawasan tertentu.

"Kita tak perlu hadkan jumlah sumbangan. Bagi ibu bapa yang menyumbang lebih terpulang kepada mereka.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, pihak PIBG juga perlu kreatif untuk mendapatkan sumbangan bukan hanya berharap kepada ibu bapa semata-mata. Mereka boleh pergi kepada orang awam atau syarikat korporat kerana sumbangan kepada sekolah boleh mendapat pengecualian cukai," katanya.

Katanya, pengecualian itu tertakluk di bawah Seksyen 44 (b) Akta Cukai Pendapatan 1967 iaitu Sumbangan Wang Awam (SUWA).