Dua pemain import baharu TFC tiba awal Disember

Nafuzi Zain. FOTO: https://www.vocketfc.com
Nafuzi Zain. FOTO: https://www.vocketfc.com
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dua pemain import baharu Terengganu FC (TFC) akan tiba awal Disember ini bagi memulakan latihan pramusim bersama pasukan itu.

Ketua jurulatih, Nafuzi Zain berkata, TFC akan memulakan latihan pertama pada 5 Disember dan ia akan turut disertai dua pemain tersebut yang mengisi posisi penyerang dan pertahanan.

Bagaimanapun, beliau masih enggan mendedahkan identiti pemain berkenaan, namun menafikan khabar angin bahawa seorang daripadanya adalah dari skuad pertahanan kebangsaan Guinea, Fode Kuffour Camara seperti yang digembar-gemburkan di laman sosial.

"Kita telah tandatangan kontrak bersama pemain sayap, Muhd Faris Ramli baru-baru ini bagi mengisi kuota ASEAN dan akan disusuli dengan dua pemain import baharu sebelum bermulanya latihan pramusim.

"Faris mungkin akan tiba lewat sedikit kerana perlu mewakili Singapura di Sukan SEA di Filipina. Jadi kita beri cuti beberapa hari untuk mengembalikan semula kecergasan sebelum mengharungi Liga Malaysia (Liga M) yang panjang," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Skuad Penyu sebelum ini mengekalkan khidmat dua pemain import, Sanjar Shaakhmedov dan kapten pasukan, Lee Tuck bagi mengharungi Liga M musim depan.

Mengulas lanjut, Nafuzi berkata, selain khidmat tiga pemain import baharu, TFC juga akan membawa masuk beberapa pemain tempatan bagi melengkap serta memperkuatkan skuadnya musim depan.

Menurutnya, sebahagian besar pemain tersebut terdiri daripada pemain muda yang merupakan anak negeri daripada pasukan TFC lll dan TFC IV.

Artikel Berkaitan:

"Kita telah menguji beberapa pemain muda ketika bertanding di kejohanan Piala Sheikh Kamal di Bangladesh dan mereka mempamerkan persembahan cemerlang sehingga pasukan muncul juara.

"Saya yakin mereka tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan yang akan diterapkan nanti dan bersedia menggalas tugas besar skuad hitam putih pada 2020," katanya. - Bernama